MUAR - Seorang maut manakala empat lagi cedera dalam nahas melibatkan dua kenderaan di kilometer 144.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat sini Isnin lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard.
"Siasatan awal mendapati MPV yang datang dari arah selatan ke utara dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang kereta terbabit hingga menyebabkan pemandunya hilang kawalan hingga terbabas lalu melanggar besi penghadang di bahu kiri jalan.
"Akibat perlanggaran itu, pemandu dan tiga penumpang kereta Proton Saga mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Muar untuk menerima rawatan.
Bagaimanapun, Rabu lalu, polis menerima maklumat bahawa salah seorang penumpang Proton Saga meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Sabtu.
Pada masa sama, ujian nafas dan darah ke mendapati pemandu MPV bebas daripada pengaruh alkohol dan bahan terlarang.
Bagaimanapun katanya, pihaknya membuka siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000," katanya.