Sultan Pahang bantu mangsa kemalangan

Iklan
Tangkap layar video memaparkan Al-Sultan Abdullah membantu mangsa kemalangan ketika baginda dalam perjalanan dari bermain padel di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah sanggup turun dari kenderaan bagi membantu mangsa kemalangan ketika dalam perjalanan dari bermain padel di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Menurut hantaran melalui Facebook Kesultanan Pahang, ketika itu baginda sedang melalui Jalan Teluk Sisek kira-kira jam 6.55 petang.

Iklan
Iklan

Kebetulan berlaku kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta.

Dalam kemalangan itu, penunggang motosikal, Hadzirul Zazlin Mahadzir, 27, terbaring kesakitan dengan kecederaan di kaki dan tangan.

Iklan

Tanpa berlengah, baginda segera menenangkan mangsa dengan menitipkan nasihat dan meminta pengawal pengiring menghubungi ambulans.

"Bersabar, istighfar banyak-banyak dan ingat ALLAH," demikian titah baginda seperti yang dilaporkan melalui hantaran itu.

Iklan

Difahamkan, Al-Sultan Abdullah berbuat demikian agar mangsa kemalangan tidak panik dan mengurangkan kesakitan.

Menurut hantaran itu lagi, baginda bukan sahaja mengurniakan sumbangan peribadi tetapi sanggup menunggu sehingga bantuan sampai dan memastikan mangsa kemalangan di bawa hospital untuk rawatan dengan segera.

Mangsa yang beralamat di Indera Mahkota dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.

Ini bukan kali pertama sebaliknya keprihatinan Al-Sultan Abdullah terserlah apabila baginda sering menangguhkan perjalanan dan memberhentikan kenderaan bagi membantu mangsa kemalangan walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

Pada Disember tahun lalu, baginda pernah berkenan menangguhkan perjalanan dan memberhentikan kenderaan bagi membantu mangsa kemalangan di Jalan Sultan Ahmad berhampiran Istana Saadah, Pekan.

Selain itu, pernah juga baginda berangkat turun dari kenderaan sebaik sahaja terlihat sebuah kenderaan terbabas di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) berhampiran susur keluar tol Gambang di sini.

Ketika itu baginda dalam perjalanan berangkat pulang ke Kuantan dari program rasmi di Temerloh.

Baginda juga pernah memberhentikan kenderaan bagi membantu mangsa kemalangan di LPT1 berhampiran kawasan Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Kuantan pada 15 Oktober lalu dan beberapa kejadian lain lagi.