Elak buat rakaman video sensitif di Tanah Suci

Iklan
Jemaah haji diminta supaya mengelakkan diri daripada membuat rakaman video kandungan sensitif di tempat-tempat yang dilarang. - Gambar hiasan

MAKKAH – Elakkan daripada membuat rakaman video kandungan sensitif di tempat-tempat yang dilarang.

Itu pesanan tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar kepada jemaah haji Malaysia yang kini sudah berada di Tanah Suci.

Iklan
Iklan

Beliau turut mengingatkan semua jemaah haji agar sentiasa mematuhi segala peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi termasuk pemakaian kad Nusuk dan gelang pengenalan diri.

"Elakkan diri daripada terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti turut serta dalam perhimpunan atau membuat rakaman video sensitif di tempat-tempat yang dilarang.

Iklan

"Semua jemaah haji Malaysia disaran untuk memberi tumpuan penuh kepada ibadat, bersolat jemaah dan perbanyakan amalan-amalan sunat,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Abraj Al Janadriyah di sini.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia dan Tabung Haji akan sentiasa memantau isu keselamatan di Tanah Suci dari masa ke masa dan para jemaah akan diberi pemakluman awal agar lebih berhati-hati.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menjangkakan bahawa cuaca sepanjang musim haji kali ini boleh mencecah 50 darjah Celsius terutamanya waktu berwukuf nanti.

"Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini mengesyorkan agar dilakukan ‘lockdown’ dari jam 10 pagi hingga 4 petang supaya jemaah kekal duduk di dalam khemah masing-masing semasa di Arafah dan Mina bagi mengelakkan risiko strok haba.

"Ini bertujuan untuk mengelak jemaah haji daripada terdedah kepada terik matahari pada waktu tersebut. Sementara menunggu waktu wukuf, sekiranya jemaah ingin ke masjid sewaktu tengah hari, gunakan kawasan pejalan kaki berbumbung yang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi atau gunakan payung, dan pakai pelitup muka untuk mengelakkan habuk dan debu,” katanya.