Selangor lancar Khairat Darul Ehsan, salur bantuan kematian RM1,000

Iklan
Amirudin (tengah) melancarkan Khairat Darul Ehsan pada Karnival Ceria Selangor di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang pada Sabtu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan Selangor pada Sabtu melancarkan inisiatif Khairat Darul Ehsan (KDE) sebagai entiti tunggal dalam penyaluran bantuan kewangan berjumlah RM1,000 kepada waris keluarga bagi meringankan beban kos pengurusan kematian.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebelum ini bantuan kewangan kepada waris yang meninggal dunia disalurkan melalui pelbagai program berasingan seperti Skim Mesra, Iltizam Selangor Sihat (ISS), dan Skim Insurans Am Selangor (Insan).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta bagi pelaksanaan inisiatif KDE itu berbanding RM12 juta di bawah Skim Mesra, ISS, dan Insan sebelum ini dengan 5,995 penerima.

"Pelaksanaan KDE juga menyelaraskan pemberian bantuan khairat kematian yang sebelum ini disalurkan menerusi beberapa program berasingan seperti Skim Mesra, Iltizam Selangor Sihat (ISS), dan Skim Insurans Am Selangor (Insan),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sukarelawan Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Khairat Darul Ehsan di sini pada Sabtu.

Iklan

Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dilantik sebagai agensi pelaksana utama bagi inisiatif tersebut.

Amirudin berkata, KDE merupakan antara usaha dilaksanakan kerajaan negeri dalam memperkukuh penyampaian manfaat kepada rakyat, selain memenuhi janji manifesto di bawah gagasan '5 Tekad untuk 5 Tahun'.

Iklan

"Inisiatif ini juga sejajar dengan matlamat Rancangan Selangor Pertama untuk menjadikan Selangor sebuah negeri berdaya huni melalui peningkatan kesejahteraan dan keterangkuman sosial,” katanya.

Beliau berkata, terdapat dua kategori kelayakan untuk memohon KDE iaitu warga am dan orang kurang upaya (OKU).

Bagi kategori warga am, pemohon mestilah berusia 50 tahun ke atas, warganegara Malaysia dan pengundi berdaftar di Selangor.

Kategori OKU pula terbuka kepada pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat tanpa had umur, warganegara Malaysia, mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa yang merupakan pengundi Selangor dan menetap di negeri ini.

Orang ramai yang layak boleh mendaftar secara dalam talian di laman sesawang https://kde.yawas.com.my mulai 1 Jun ini. - Bernama