KUALA TERENGGANU - Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 Sdn Bhd menjangkakan peningkatan trafik sehingga 60,000 kenderaan sehari di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sempena cuti perayaan Aidiladha.
LPT2 dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan bahawa peningkatan jumlah kenderaan dijangka berlaku pada hari-hari puncak, iaitu pada 5 dan 6 Jun serta 8 dan 9 Jun ini.
"Sehubungan itu, pengguna lebuh raya yang pulang ke kampung atau bercuti di Pantai Timur menggunakan LPT2 dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal pada musim perayaan ini,” menurut kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, LPT2 Sdn Bhd memaklumkan pihaknya bersiap sedia untuk menguruskan peningkatan trafik di lebuh raya melalui beberapa inisiatif, termasuk menyediakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS untuk membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan lebih awal.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan bertujuan mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan tertumpu di satu-satu lokasi lebuh raya secara serentak.
"Untuk mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA, pengguna lebuh raya boleh memuat turun dan mengakses aplikasi PLUS bagi memilih waktu perjalanan paling optimum bagi perjalanan di LPT2 antara 5 hingga 10 Jun.
"Oleh itu, LPT2 menyeru orang ramai supaya merancang dan menyusun jadual perjalanan lebih awal berdasarkan cadangan MyPLUS-TTA bagi perjalanan pulang ke kampung halaman pada 5 hingga 7 Jun, serta menyusun jadual perjalanan kembali semula ke Lembah Klang pada 8 hingga 10 Jun selepas bercuti sempena Aidiladha,” katanya.
Sementara itu, bagi mengelakkan gangguan terhadap pergerakan trafik di laluan utama lebuh raya, tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan di LPT2 bermula 5 hingga 9 Jun ini kecuali melibatkan kerja-kerja kecemasan, pengalihan kemalangan dan pembaikan kritikal.
LPT2 Sdn Bhd turut mengambil beberapa langkah lain, antaranya menyediakan lebih 300 petugas dalam ekosistem LPT2, terutama di plaza tol dan pusat pemantauan trafik.
"Selain itu, LPT2 turut menyediakan lebih daripada 160 anggota RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) untuk membantu melancarkan pengurusan trafik di R&R, hentian sebelah dan plaza tol terpilih bagi keselesaan pengguna.
"LPT2 juga memohon kerjasama orang ramai supaya merancang perjalanan mereka dan menggunakan kemudahan tandas serta surau yang disediakan di plaza tol terdekat,” menurut kenyataan berkenaan.
Pada masa yang sama, kenyataan itu turut memaklumkan bahawa pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di LPT2 menerusi X@lpt2trafik, talian LPT2Line 1-800-88-0220, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih atau menerusi saluran stesen radio utama negara.
Orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi navigasi Waze atau Google Maps untuk merancang laluan yang akan digunakan, dan mereka boleh menghubungi talian LPT2Line di 1-800-88-0220 sekiranya memerlukan bantuan kecemasan. - Bernama