Air di tangki R13 tak cukup untuk dipam ke UMS

Iklan
Laporan Sinar Harian berkaitan masalah air di UMS.

KOTA KINABALU - Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menegaskan bahawa air di tangki R13 untuk dibekalkan kepada UMS tidak cukup untuk dipam ke universiti tersebut terutama pada waktu puncak.

Beliau berkata, disebabkan itu ia akan menjejaskan keupayaan UMS untuk menyalurkan air ke seluruh kawasan kampus khususnya ke kolej kediaman pelajar.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan pemantauan berkala oleh pasukan teknikal UMS, didapati paras air di tangki R13 tidak sentiasa berada pada tahap optimum.

"Malah, terdapat hari-hari tertentu di mana paras air berada di bawah tahap minimum, sekali gus menyukarkan operasi pengepaman ke sistem bekalan dalaman kampus," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Kenyataan itu sebagai respons terhadap kenyataan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang menegaskan bahawa tangki R13 yang membekalkan air ke UMS dikatakan mencukupi dan tidak pernah kosong pada paras yang tidak membolehkan air dipam oleh UMS.

Abdul Rahman turut berkata, pihak JANS menyatakan bahawa mereka menyalurkan air sebanyak 34 juta liter sehari ke tangki R13 yang sepatutnya mencukupi untuk UMS kerana keperluan UMS hanyalah lima juta liter sehari.

Iklan

"Namun, untuk makluman tangki R13 ini bukan eksklusif kepada UMS sahaja. Tangki ini juga adalah sumber air kepada kawasan utara Kota Kinabalu termasuk di Sepanggar, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), taman-taman perumahan dan Hospital Likas.

"Untuk makluman juga, kawasan utara Kota Kinabalu adalah kawasan yang begitu pesat membangun dengan taman-taman perumahan dan kawasan industri baharu, jadi ini bermakna bukan semua 34 juta liter sehari itu untuk UMS," ujarnya.

Katanya lagi, pihak JANS juga ada menyarankan agar UMS mengantikan pam air sedia ada di UMS supaya kapasiti pengepaman air ke UMS lebih berkesan.

"Untuk makluman, UMS mempunyai tiga pam untuk tujuan mengepam air dari tangki R13 ke UMS. Pam ini masih berfungsi dengan baik walaupun agak berusia.

"Buktinya sehingga hari ini jika aras air dalam tangki R13 mencukupi untuk dipam, proses pengepaman bekalan air ke UMS tidak bermasalah.

"Jadi masalah air di UMS ini bukan kerana sistem pam UMS yang tidak efektif, tetapi kerana aras air dalam tangki R13 tidak mencukupi untuk dipam," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata, pihak UMS telah dimaklumkan oleh Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya bahawa bekalan air ke tangki R13 oleh JANS akan jauh bertambah baik dalam masa dua bulan ini.

"Ini apabila kerja-kerja penyambungan paip dari loji rawatan air baru iaitu LRA Telibong 2 Fasa 2 ke kawasan utara Kota Kinabalu (termasuk UMS) yang telah bermula sejak tahun lepas, akan siap sepenuhnya.

"Saya yakin jika bekalan air dari loji rawatan air Telibong 2 fasa 2 (sekitar 80 juta liter sehari) sudah mula disalurkan, isu gangguan bekalan air di UMS yang menyebabkan keresahan dan tekanan emosi kepada pelajar-pelajar UMS selama ini akan selesai," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan mahasiswa berasal dari Sarawak yang menuntut di UMS meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan sistem pengurusan keperluan asas di kampus tersebut terutama melibatkan bekalan air.