KUALA LUMPUR - Bangunan Program Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia Blok 43, di sini yang mengalami keretakan bukan berpunca daripada kerosakan struktur.
Sebaliknya, DBKL memaklumkan, keretakan itu berlaku pada sambungan pengembangan iaitu komponen binaan yang direka khas untuk menyerap pergerakan semula jadi struktur bangunan akibat perubahan suhu dan cuaca.
Menurutnya, fungsi utama sambungan pengembangan berkenaan untuk mengelakkan berlaku kerosakan besar pada struktur utama bangunan menyebabkan kewujudannya amat penting bagi memastikan kestabilan serta keselamatan bangunan.
"Maka, keretakan yang kelihatan pada bahagian tersebut sebenarnya menunjukkan sistem ini sedang berfungsi dengan baik dalam melindungi bangunan daripada keretakan pada struktur utama.
"Bagaimanapun, pemeriksaan terkini yang dijalankan mendapati beberapa kerosakan kecil terhadap sambungan pengembangan ini dipercayai berpunca daripada perbuatan vandalisme.
"Tetapi, kebanyakan sambungan pengembangan ini masih berada dalam keadaan baik dan kerja-kerja baik pulih terhadap bahagian yang dikenal pasti mengalami kerosakan sedang dilaksanakan segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa gambar dan video memaparkan keadaan bangunan PPR Gombak Setia yang didakwa telah retak dan menanti belah.
Perkara itu mendatangkan kerisauan kepada penduduk kerana mendakwa bangunan itu tidak lagi selamat untuk didiami.
Mengulas lanjut, DBKL berkata, sebelum ini pihaknya telah melaksanakan beberapa tindakan bagi memastikan tahap keselamatan bangunan berada dalam keadaan baik.
"Ia termasuk melantik syarikat perunding pada 2020 bagi menjalankan kajian penilaian terhadap sambungan pengembangan di PPR berkenaan.
"Seterusnya, pada 2023, kerja baik pulih secara menyeluruh telah dilaksanakan di Blok 41 dan Blok 43, beberapa kerja baik pulih turut dilaksanakan pada 2024 berdasarkan kepada aduan semasa yang diterima.
"Terkini, satu pemeriksaan tapak telah dijalankan oleh DBKL pada 27 Mei 2025 bagi mengenal pasti keadaan semasa sambungan pengembangan termasuk kerosakan yang berpunca daripada faktor cuaca dan vandalisme,” ujarnya.