‘Saya harap ALLAH hapuskan dosa-dosa saya’ - Bibiana Layola

Iklan
Bibiana Layola berharap dapat istiqamah dalam melakukan ibadah sekembalinya ke tanah air nanti.

MAKKAH -"Saya nak mohon banyak-banyak keampunan daripada ALLAH SWT. Semoga ALLAH ampunkan semua dosa-dosa saya.”

Demikian luah bekas penyanyi dan pelakon, Bibiana Layola atau nama sebenarnya Nur Habibah Abdullah, 55, yang merupakan antara 31,600 jemaah haji Malaysia terpilih menunaikan Rukun Islam kelima itu bagi musim 1446h/2025M.

Iklan
Iklan

Beliau yang pernah memegang watak dalam filem Rozana Cinta ‘87 arahan pengarah, Nasir Jani turut berharap dapat istiqamah dalam melakukan ibadah sekembalinya ke tanah air kelak.

"Saya mengerjakan umrah pada tahun 2017 dan 2023. Kali terakhir kerjakan umrah itu hati terdetik berdoa nak tunaikan haji. Alhamdulillah ALLAH jemput saya tahun ini sebagai tetamu-Nya.

Iklan

"Masa terima tawaran (tunaikan haji) pelbagai perasaan datang. Gembira, takut, sedih, berdebar dan keliru namun alhamdulillah saya dapat sampai Tanah Suci,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Abraj Al Tayseer di sini.

Kakak kepada Nur Aliah Lee yang memeluk Islam pada 1991 itu berkata, beliau ke Tanah Suci kali ini bersama sepupunya.

Iklan

Mengakui banyak ujian ditempuhi untuk sampai ke Tanah Suci, ibu kepada tiga cahaya mata itu memberitahu lebih banyak mengamalkan sikap bersabar.

"Saya menabung sejak 25 tahun lalu, untuk datang ke sini dan bila sudah sampai banyak juga dugaan tapi saya banyak bersabar.

"Cuma apa yang bermain di kepala saya sekarang adalah bagaimana nak membawa diri selepas pulang menunaikan haji dan bagaimana penampilan selepas ini,” katanya.

Bekas vokalis kumpulan Skyfire itu berkata, beliau kini terlibat dengan aktiviti kebajikan dan sentiasa berdoa supaya diberi petunjuk mengenai apa yang dilakukannya ketika ini.

"Saya doakan ALLAH beri saya petunjuk, adakah apa yang saya buat sekarang adalah baik atau ke arah lebih baik.

"Saya juga berharap amalan dilakukan diberikan ganjaran oleh ALLAH SWT dengan sebaiknya dan tidak lupa kepada al-Quran,” katanya.