Kencing manis, kolesterol catat peningkatan di Kelantan

Iklan
Dr Dzulkefly (kiri) melakukan senaman di Wellness Hub selepas merasmikan Majlis Hari Terbuka Wellness Hub Kelantan di Pengkalan Chepa pada Jumaat.

KOTA BHARU – Penyakit kencing manis dan kadar kolesterol rakyat Kelantan membimbangkan apabila Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS 2023) mendapati dua masalah itu mencatatkan peningkatan melebihi purata nasional.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 16.3 peratus penduduk Kelantan menghidap penyakit kencing manis, iaitu peningkatan 0.7 peratus berbanding indikator purata nasional sebanyak 15.6 peratus.

Iklan
Iklan

Beliau memberitahu, kadar kolesterol tinggi juga meningkat dengan mencatatkan 34.9 peratus manakala indikator purata nasional ialah 33.3 peratus.

"Dapatan ini amat membimbangkan walaupun Kelantan mencatatkan prestasi yang lebih baik dalam beberapa indikator berbanding paras nasional,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Hari Terbuka Wellness Hub Kelantan di Pengkalan Chepa pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin.

Iklan

Dr Dzulkefly turut memaklumkan, rakyat Kelantan lebih baik dalam menangani obesiti dan penyakit darah tinggi.

Jelas beliau, purata obesiti di peringkat nasional ialah 54.4 peratus manakala di Kelantan mencatatkan 51.6 peratus.

"Penyakit darah tinggi yang dicatatkan NHMS di peringkat nasional ialah sebanyak 29.2 peratus, namun di Kelantan ialah 27.9 peratus.

"Mendepani cabaran ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan dan melaksanakan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sebagai platform untuk menggerakkan pembudayaan gaya hidup sihat secara menyeluruh,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, Wellness Hub diwujudkan sebagai hab komuniti untuk promosi kesihatan, sebagai lokasi masyarakat mendapatkan bimbingan, sokongan dan intervensi bagi membina gaya hidup yang lebih sihat.

"Inisiatif ini sangat selari dengan agenda reformasi sistem kesihatan negara, iaitu peralihan daripada perkhidmatan yang berfokuskan rawatan kepada sistem yang menumpukan kepada pencegahan dan kesejahteraan,” katanya.