KUALA LUMPUR - Pelawak veteran tanah air, Khairul Azhar Abdul Samad, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taman Sri Andalas, Klang pada malam Khamis.
Allahyarham yang juga pesara Majlis Bandaraya Diraja Klang meninggal dunia pada usia 70 tahun.
Memetik laporan portal berita Mstar, kematian Allahyarham disahkan anak angkat dan pembantu peribadinya, Aizat.
Kata Aizat, Allahyarham Khairul ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta.
Khairul disahkan meninggal dunia pada jam 10.37 malam oleh pasukan perubatan.
Menurut Aizat, Allahyarham sebelum ini pernah menghidap penyakit paru-paru berair, namun punca sebenar kematian masih belum disahkan.
Khairul meninggalkan dua anak perempuan iaitu Nor Hafizah, 41, dan Nur Shahirah, 25, sementara, Isterinya, Norsidah Ahmat, meninggal dunia pada Jun tahun lalu akibat kanser darah.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja Uda, Klang selepas solat Jumaat.
Khairul dikenali ramai menerusi sitkom Santan Berlada pada era 1980-an, yang turut menampilkan gandingan bersama Allahyarham Ali Mamak dan mendiang Acapan.
Turut menggangotai Santan Berlada ialah aktres ternama, Datuk Fauziah Nawi.
Kumpulan ini juga pernah merakamkan sebuah album komedi terbitan Suria Records pada tahun 1993.
Sementara itu, Fauziah berkata, sehingga kini, beliau sangat mengagumi disiplin Allahyarham dan bagaimana arwah merencana kerjaya seninya.
"Arwah seorang yang sangat serius orangnya. Kalau kerja, mesti teratur dan penuh disiplin. Arwah akan pastikan semua pasukan dalam produksi tahu peranan masing-masing.
"Pendek kata, beliau memudahkan banyak urusan kami di set. Saya pasti akan merindui arwah,” kata Fauziah kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Fauziah turut memberitahu, kali terakhir beliau berbual dengan Allahyarham Khairul ialah pada tahun lepas melalui telefon.
Sebagai rakan artis, hubungan akrab antara Fauziah dan Allahyarham Khairul serta rakan-rakan Santan Berlada tidak terhenti di set penggambaran sahaja, sebaliknya berterusan hingga menjadi seperti keluarga sendiri.
"Persahabatan kami sudah seperti sebuah keluarga. Mereka (Khairul dan rakan-rakan Santan Berlada) suka sangat lepak rumah saya. Suami saya pun tak kisah kalau saya keluar dengan mereka,” ujarnya sambil tertawa mengenang kenangan lalu.
Fauziah turut berkongsi, Khairul sering memanggilnya"Kak Ti”, malah menganggapnya sebagai kakak yang sering menasihati dan didengari.
"Saya selalu jadi kakak tua yang membebel, tapi dia dengar cakap saya,” katanya sebak.
Fauziah menambah, pemergian Khairul merupakan satu kehilangan besar buat dunia seni dan kenangan bersama arwah akan terus terpahat dalam ingatan. - AWANI