MAKKAH - Sejak bertahun-tahun, berlaku salah faham terhadap makna sebenar Jabal Rahmah.
Ramai yang datang dengan niat khusus untuk berdoa agar mendapat jodoh, malah ada yang sanggup menulis nama pasangan di batu-batu bukit ini dengan harapan perhubungan mereka berkekalan.
Menurut Pembimbing Ibadat Haji, Dr Mohd Bakri Aziz@Saari, perbuatan itu tidak bersandarkan sebarang dalil yang sahih.
"Hakikatnya, tiada satu pun dalil sahih dalam al-Quran atau hadis yang menyuruh umat Islam memohon jodoh secara khusus di Jabal Rahmah. Kalau nak jodoh, mintalah pada ALLAH dengan sungguh-sungguh. Usaha, doa dan tawakal.
"Kalau datang sini ada yang tulis jodoh tak dapat jodoh, jangan salahkan Jabal Rahmah atau kalau balik dapat jodoh pun tiada kaitan dengan Jabal Rahmah,” katanya ketika Program Ziarah Luar Petugas Media Tabung Haji (TH) di beberapa lokasi bersejarah sekitar Makkah di sini.
Namun, di sebalik kepercayaan itu, katanya, Jabal Rahmah tetap penting dalam sejarah umat Islam.
Terletak di tengah-tengah Padang Arafah yang luas, bukit kecil ini bukan sahaja mercu tanda Arafah, malah menyaksikan peristiwa agung dalam sejarah peradaban manusia.
Katanya, menurut riwayat, selepas diturunkan dari syurga, Nabi Adam AS diturunkan di India manakala Hawa di Jeddah.
"Mereka dipertemukan di kawasan ini (Jabal Rahmah),” katanya.
Simbolik kasih sayang antara pasangan pertama manusia inilah yang menjadikan Jabal Rahmah sering dikaitkan dengan harapan cinta dan pertemuan jodoh.
Tetapi, menurut Dr Mohd Bakri, fokus sebenar di Arafah bukan soal jodoh, tetapi soal penghambaan dan pengharapan kepada ALLAH.
Katanya, nama Arafah berasal daripada perkataan A’rafa.
"Setelah Malaikat Jibrail menerangkan Nabi Ibrahim cara menunaikan ibadat haji lalu, malaikat bertanya Arafta? (kamu tahu?) lalu dijawab Nabi Ibrahim Araftu (aku tahu). Di situlah terletaknya rukun terpenting dalam ibadah haji iaitu wukuf di Arafah.
"Pada 9 Zulhijjah, selepas solat Zuhur dan Asar dijamak dan diqasarkan di Wadi Uranah (kawasan Masjid Namirah sekarang), Rasulullah berkhutbah kepada ribuan jemaah haji yang hadir bersama baginda, seterusnya menuju ke Jabal Rahmah dan Rasulullah SAW mula berwuquf di satu batu besar di kaki Jabal Rahmah sambil berdoa dan bermunajat dengan penuh pengharapan di situ.
"Di sinilah juga disarankan untuk memperbanyakkan doa untuk kebaikan dunia dan akhirat, istighfar dan zikir. Antara amalan yang sering disyorkan oleh para ulama selain membaca doa-doa yang ma’thur, turut membaca Surah Al-Hasyr, Surah al-Fatihah dan Surah Al-Ikhlas sebanyak 1,000 kali” ujarnya lagi.
Tambahnya, suasana padang Arafah yang berkeluasan lebih 10.4 kilometer persegi dan terletak kira-kira 21.9 kilometer dari Makkah itu turut mengingatkan umat Islam kepada perhimpunan manusia di Padang Mahsyar.
Beliau sebelum itu berkata, sebagai langkah keselesaan, kerajaan Arab Saudi telah menanam lebih 100,000 pokok bagi memberikan teduhan kepada para jemaah.