KUALA SELANGOR - Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori di Jalan Parit Mahang, Jeram di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam pada jam 2.31 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika lori yang dipandu seorang lelaki bergerak dari arah jalan besar menuju ke Parit Mahang.
"Setibanya di lokasi, motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan masuk ke laluan lori dan melanggar bahagian hadapan kenderaan berat itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak atas jalan dan mengalami kecederaan parah di seluruh badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat,” ujar beliau.
Bagaimanapun, katanya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berdekatan.