110 petugas JPV pantau lokasi ibadah korban seluruh Terengganu

Iklan
Dr Anun (kanan) memberi penerangan sempena Kempen Kesedaran Awam Penyakit Ternakan Ruminan Berimpak Ekonomi dan Zoonotik Peringkat Negeri Terengganu 2025, di Kuala Terengganu pada Khamis.

KUALA TERENGGANU - Seramai 110 petugas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu akan digerakkan bagi memantau pelaksanaan ibadah korban di seluruh negeri pada 7 Jun depan melibatkan lokasi penyembelihan 40 ekor ternakan ke atas.

Pengarah JPV Terengganu, Dr Anun Man berkata, pemantauan tersebut bagi memastikan semua proses penyembelihan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan selain mengelak sebarang risiko jangkitan penyakit haiwan yang boleh menjejaskan kesihatan awam.

Iklan
Iklan

"Setiap tahun kita keluarkan antara 6,000 hingga 7,000 permit penyembelihan. Dengan kekangan jumlah anggota, kita hanya mampu pantau kira-kira 30 peratus lokasi sahaja.

"Jadi, fokus diberikan kepada tempat yang melibatkan jumlah penyembelihan besar seperti masjid, padang awam, surau dan balai raya.

Iklan

"Petugas akan memastikan semua aspek pelaksanaan korban berjalan mengikut SOP termasuk carta aliran kerja yang telah dikeluarkan," katanya ketika ditemui selepas Kempen Kesedaran Awam Penyakit Ternakan Ruminan Berimpak Ekonomi dan Zoonotik Peringkat Negeri Terengganu 2025, di sini, pada Khamis.

Pelancaran kempen berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Hilmi Harun.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya kini giat melaksanakan Ops Mega bermula 9 Mei lalu hingga 8 Jun depan bagi membanteras aktiviti pemindahan dan penyembelihan haram ternakan sempena Aidiladha.

"Seramai 20 anggota dan pegawai penguat kuasa veterinar telah digerakkan. Tumpuan diberikan kepada kawasan 'hotspot' termasuk sempadan negeri di daerah Besut, Setiu dan Kemaman.

"Kita ingin pastikan tiada penyeludupan lembu ke dalam negeri atau sembelihan dilakukan tanpa kebenaran sah daripada JPV," ujarnya.

Sementara itu, statistik terkini bermula 25 hingga 28 Mei mencatatkan sebanyak 404 permit pindah dan 1,131 permit sembelih luar (korban) telah diluluskan oleh JPV Terengganu.