KUALA LANGAT – Sekumpulan pemandu lori tipper yang dipercayai membawa muatan melebihi had sanggup meninggalkan kenderaan berat itu selepas menyedari kehadiran sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Saujana Putra di sini pada Khamis.
Kejadian itu dikesan menerusi Op Paras yang dijalankan JPJ Selangor kira-kira jam 11 pagi.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kira-kira 15 lori pelbagai jenis muatan berhenti di bahu jalan sebelum plaza tol terbabit.
Sekurang-kurangnya empat lori tipper ditinggalkan dalam keadaan enjin masih hidup oleh pemandunya yang dipercayai merupakan warga asing selepas menyedari kesalahan dilakukan termasuk membawa muatan berlebihan.
Susulan itu, JPJ telah mengeluarkan pelbagai saman atas kesalahan yang mengkehendaki pemiliknya tampil untuk menyelesaikan notis serta mengelakkan kenderaan daripada disenaraihitamkan.
Bukan itu sahaja, sebuah treler yang disyaki membawa muatan sisa elektronik juga ditinggalkan oleh pemandunya.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, sejak pelaksanaan Op Paras bermula 1 Mei lalu, sebanyak 143 kenderaan barangan telah dikenakan notis di bawah Seksyen 63(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu arahan untuk menimbang kenderaan.
Menurutnya, Op Paras memberi fokus kepada penguatkuasaan terhadap kenderaan barangan yang melakukan kesalahan membawa muatan melebihi had serta mengangkut barangan secara berbahaya.
"Sepanjang tempoh itu, 724 kes membabitkan muatan melebihi had, 645 kes membawa muatan secara berbahaya, serta sitaan 23 kenderaan.
"Berdasarkan keterangan yang kita ambil daripada pemandu, mereka mendakwa membawa muatan melebihi had kerana mahu mengejar komisen atau keuntungan,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Tambahnya, antara muatan yang sering dikesan ialah pasir, batu, tanah serta sisa kelapa sawit.
Jelasnya, operasi ini dilancarkan bagi membendung peningkatan kes kemalangan yang berpunca daripada kenderaan berat yang tidak mematuhi undang-undang dan piawaian keselamatan jalan raya, khususnya melibatkan kesalahan membawa muatan berlebihan.