‘Tuai Kasih’ raih 2.5 juta tontonan, simbol perpaduan sempena Hari Gawai dan Kaamatan

Iklan
Pelbagai kebudayaan ditonjolkan dalam iklan 'Tuai Kasih' sempena sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan 2025.

SHAH ALAM - Iklan istimewa sempena sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan 2025 yang bertajuk Tuai Kasih berjaya mencuri perhatian rakyat Malaysia.

Sejak dimuat naik pada 26 Mei 2025, Tuai Kasih mencatat lebih 2.5 juta tontonan di dua media sosial rasmi Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang iaitu TikTok dan Instagram.

Iklan
Iklan

Iklan kreatif yang dicetuskan Aaron itu bukan sahaja menonjolkan keunikan sambutan Gawai dan Kaamatan, malah dilihat sebagai lambang perpaduan dalam kepelbagaian masyarakat.

Membawa tema"Dalam setiap sambutan, kita raikan keharmonian dalam kepelbagaian”, iklan ini tampil sebagai karya seni visual yang memukau, menggabungkan unsur tradisional seperti tarian etnik dan muzik rakyat yang disusun penuh emosi.

Iklan
Sejak dimuat naik pada 26 Mei 2025, Tuai Kasih mencatat lebih 2.5 juta tontonan.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perpaduan Negara, Dr S Shatesh Kumar berkata, penyampaian menerusi iklan itu tidak hanya menyentuh lapisan masyarakat dari Sabah dan Sarawak, tetapi juga merentasi sempadan kaum dan agama.

Menurut beliau, ia menjadikannya relevan dan menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.

Iklan

"Tuai Kasih secara literal bermaksud ‘menuai kasih sayang’, menjadi metafora kepada hasil yang dituai apabila rakyat hidup bersama dalam suasana yang saling menyayangi dan memahami.

"Lebih daripada sekadar hiburan atau dokumentasi budaya, Tuai Kasih membawa mesej yang sangat penting dalam konteks Malaysia hari ini bahawa perpaduan hanya dapat dibina melalui saling faham, hormat serta penerimaan terhadap perbezaan budaya.

"Dalam sebuah negara yang rencam dari segi etnik, bahasa dan adat, iklan ini menyampaikan mesej bahawa perayaan seperti Gawai dan Kaamatan wajar diraikan bukan sahaja oleh masyarakat asalnya, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia sebagai lambang identiti nasional,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau memberitahu, sejajar dengan hasrat kepimpinan negara, iklan Tuai Kasih digarap dengan semangat dan aspirasi yang sering disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, Anwar sering mengingatkan agar semua pihak wajib memastikan masyarakat di Malaysia hidup dalam suasana aman, harmoni dan saling menjaga antara satu sama lain.

"Karya ini turut menitikberatkan beberapa elemen yang sering disebut oleh Perdana Menteri untuk melihat Malaysia maju, bukan sahaja dikenali dengan kemakmuran, tetapi juga dengan semangat perpaduan yang utuh.

"Ia berjaya menyampaikan aspirasi sebuah Malaysia yang lebih indai (cantik dalam bahasa Iban), lebih harmoni dan lebih bersatu.

"Selain itu, iklan ini menjadi bukti bahawa seni dan budaya boleh menjadi medium efektif dalam menyatukan masyarakat, menyemai rasa hormat dan memperkukuh semangat kebersamaan,” ujarnya.

Tambah Shatesh Kumar, rakyat Malaysia boleh menonton iklan tersebut di media sosial Aaron serta saluran rasmi seperti TV1 Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), TV Sarawak (TVS), Astro Awani Borneo dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Jelasnya, tayangan rasmi berlangsung dari 26 Mei hingga 2 Jun, menjadikannya tontonan wajib sempena musim perayaan ini.

"Harmoni dalam kepelbagaian, iklan ini turut menampilkan barisan pelakon yang mewakili kepelbagaian masyarakat Malaysia dengan sangat baik, antaranya Izzul Faiq, Nicole Jay, Dhakshu dan ramai lagi.

"Kehadiran mereka mengukuhkan lagi mesej perpaduan dan keharmonian yang cuba disampaikan dalam iklan ini,” katanya.