GOMBAK - Pasangan kekasih antara tiga individu yang ditahan secara berasingan kerana disyaki mengedar dadah di sini pada 14 dan 27 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, dengan penahanan itu pihaknya merampas dadah jenis syabu dan ganja anggaran berat 224,403 gram bernilai lebih RM7 juta.
"Serbuan pertama kita memberkas seorang penjual kereta terpakai dan merampas dadah jenis syabu anggaran berat 222,331 gram yang dijumpai di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios di gudang penyimpanan kenderaan di sini pada jam 9.30 malam, 14 Mei lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini pada Khamis.
Noor Ariffin berkata, dalam serbuan kedua pula, pihaknya memberkas seorang lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan yang juga pasangan kekasih pada jam 6 pagi, Selasa lalu.
"Pemeriksaan di dalam kereta jenis Honda City yang dinaiki kedua-dua suspek menjumpai dua bungkusan dadah disyaki ganja anggaran berat 2,072 gram.
"Lelaki warga asing berusia 34 tahun itu merupakan penuntut di sebuah universiti swasta, manakala teman wanitanya pula berusia 47 tahun bekerja sebagai eksekutif insurans," katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau dan saringan awal air kencing didapati negatif dadah.
"Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, kita telah menyita wang tunai RM500 dan seutas rantai emas bernilai RM11,348.86," katanya.
Menurutnya, keseluruhan dadah syabu dan ganja yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 226,475 penagih.
"Kesemua suspek masih dalam tahanan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.