SEGAMAT - [DIKEMAS KINI] Imam muda Masjid Nurul Falah Felda Redong dan anak perempuannya maut selepas pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer (KM) 173, Jalan Johor Bahru–Seremban di sini pada Rabu.
Mangsa, Mohd Fitri Md Said, 39, dan anaknya, Nurin Insyirah, 9, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, kemalangan tersebut dipercayai berlaku pada jam 6.50 petang dan melibatkan tiga kenderaan.
"Siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika semua kenderaan bergerak dari arah Labis menghala ke Segamat.
"Ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu mangsa bersama lima penumpang cuba memotong kenderaan di hadapannya.
"Bagaimanapun, cubaan memotong itu gagal apabila kenderaan pacuan empat roda berkenaan terlanggar bahagian belakang kanan sebuah lagi pacuan empat roda yang dipandu lelaki tempatan berusia 30-an sebelum melanggar pula sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 30-an bersama dua penumpang," katanya dalam satu kenyataan.
Akibat perlanggaran itu, kenderaan pikap dipandu mangsa terbabas masuk ke ladang kelapa sawit di tepi kanan jalan dan menyebabkan pemandunya, Mohd Fitri serta anaknya, Nurin Insyirah meninggal dunia di tempat kejadian.
Empat lagi penumpang iaitu isteri mangsa, Nurain Farhana Johari, 32, bersama tiga anak mereka, Nur Atiya, 2, Muhammad Zikri, 11, dan Nur Husna, 4, dilaporkan mengalami kecederaan.
Kesemua mereka berjaya keluar sendiri dari kenderaan terbabit dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Selain itu, semua pemandu dan penumpang kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan ini dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ketika ini, siasatan masih berjalan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9325811.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP), Zainal Abidin Che Deraman dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.47 petang.
Katanya, sebaik menerima panggilan tersebut, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama tujuh anggota dihantar ke lokasi sejauh sembilan kilometer.
"Sebaik tiba di lokasi pada jam 6.58 petang, pihak bomba mendapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terbabas ke dalam gaung dengan dua mangsa didapati tersepit di bawah kenderaan tersebut.
"Anggota bomba kemudiannya bertindak menggunakan peralatan khas seperti hydraulic ramp untuk menstabilkan kenderaan dan mengeluarkan mangsa.
"Kedua-dua mangsa, melibatkan seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan, disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan di lokasi.
"Mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada jam 8.05 malam," katanya.