Stadium Nasional Bukit Jalil bagaikan Old Trafford

Iklan
Penyokong United mula membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil.

STADIUM Nasional Bukit Jalil bagaikan bertukar wajah apabila puluhan ribu penyokong Manchester United membanjiri pekarangan stadium, mencetuskan suasana seakan-akan berada di Old Trafford, England.

Kemeriahan luar biasa itu tercetus sempena aksi Piala Cabaran Maybank Manchester United menentang ASEAN All-Stars yang dijadualkan berlangsung pada jam 8.45 malam ini.

Iklan
Iklan

Kehadiran puluhan ribu penyokong Red Devils mula kelihatan seawal jam 3 petang, dengan masing-masing hadir lengkap mengenakan jersi pasukan kesayangan mereka, menjadikan persekitaran stadium meriah dengan warna merah keramat Manchester United.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ada juga penyokong yang sanggup beratur di pintu masuk stadium seawal jam 4.30 petang, walaupun pintu hanya dibuka pada jam 6 petang.

Iklan

Suasana tersebut membuktikan aura Manchester United masih kukuh di hati peminat mereka walaupun kelab tersebut sebelum ini menghadapi musim yang agak suram tanpa sebarang trofi selain berada di kedudukan ke-15 Liga Perdana Inggeris.

Untuk rekod, lebih 60,000 tiket perlawanan sudah terjual setakat semalam sekali gus menyaksikan stadium akan gegak gempita dengan sorakan penyokong United.

Iklan

Kali terakhir Manchester United beraksi di Malaysia ialah pada 2009 menewaskan Malaysia XI dua kali pada 18 dan 20 Julai di Stadium Nasional Bukit Jalil.