MRM disiasat gara-gara dakwah jalanan disangka ajaran sesat

Iklan
Tangkap layar video yang dimuat naik Firdaus Wong mengenai insiden itu di Facebook.

MELAKA – Kumpulan dakwah dari Multiracial Reverted Muslims (MRM) yang sedang menjalankan aktiviti dakwah jalanan di Banda Hilir pada Ahad lalu terpaksa memberhentikan sesi tersebut selepas didakwa menyebarkan ajaran selain agama Islam.

Pengasas MRM yang juga pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud salah faham oleh pengadu yang membuat laporan kepada polis kerana kurang terdedah kepada usaha serta kaedah dakwah yang diamalkan oleh pihaknya, baik dalam mahupun luar negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sesi dakwah tersebut turut menggunakan terjemahan nama-nama Nabi dalam bahasa Inggeris sebagai salah satu pendekatan dakwah yang berkesan seperti Nabi Adam (Adam), Nabi Ibrahim (Abraham), Nabi Musa (Moses), Nabi Isa (Jesus) dan Nabi Muhammad (Muhammad).

Bagaimanapun, beliau sedikit terkilan kerana mereka yang membuat aduan tidak datang untuk bertanya dan mendapatkan penjelasan, sedangkan MRM telah menjalankan aktiviti dakwah di kawasan berkenaan sejak 2015 secara berkala.

Iklan

"Apa yang berlaku pada Ahad lalu, difahamkan terdapat beberapa individu yang salah faham tentang siapa kami dan apa yang kami lakukan di kawasan sekitar Christchurch.

"Anggota polis telah datang dan memeriksa kad pengenalan semua pendakwah, sebelum membawa dua daripada mereka ke Balai Polis Melaka Tengah untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan,” katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, pihak berkuasa turut menghubungi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi mendapatkan kepastian, dan pihaknya berterima kasih kepada polis atas layanan baik terhadap ahli MRM.

"Saya difahamkan pihak JAIM menyatakan mereka mengenali saya dan MRM serta menyokong usaha kami dalam menggerakkan kerja-kerja dakwah di Melaka.

"Saya faham niat pengadu mungkin baik memandangkan pernah berlaku insiden pengedaran Bible secara terbuka di hadapan surau berhampiran Christchurch sebelum ini,” katanya lagi yang menyatakan bahawa kerja dakwah akan tetap diteruskan meskipun diuji.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan pihaknya ada menerima aduan mengenai kejadian itu yang berpunca daripada salah faham.

"Hanya aduan orang awam sahaja, tiada sebarang laporan polis yang diterima,” katanya.

Ringkasan berita:

  • Aktiviti dakwah MRM di Banda Hilir dihentikan selepas didakwa sebar ajaran selain Islam.
  • Firdaus Wong jelaskan dakwaan berpunca dari salah faham penggunaan nama nabi dalam bahasa Inggeris.
  • Polis tahan dua pendakwah untuk soal siasat, kemudian dibebaskan.
  • JAIM kenal dan sokong MRM, dakwah dilakukan sejak 2015.
  • Polis sahkan tiada laporan polis dibuat, hanya aduan awam.
Dijana oleh AI