‘Saya tolong atas dasar kemanusiaan’ - Tindakan setiausaha surau bantu wanita India buat netizen sebak

Iklan
Tangkap layar video TikTok tular yang memaparkan Shamshul (kanan) membantu seorang wanita berbangsa India bersama bayi kecilnya yang berada dalam keadaan terdesak pada Khamis lalu.

ALOR SETAR – Setiausaha Surau Madrasatul Huda, Nyior Setali di sini menjadi sebutan ramai apabila tindakannya membantu seorang wanita berbangsa India bersama bayi kecilnya yang berada dalam keadaan terdesak pada Khamis lalu tular di media sosial.

Tindakan Shamshul Anuar Aziz, 44, itu mendapat pujian netizen, malah ramai yang menghantar mesej di TikTok miliknya mengucapkan ribuan terima kasih kerana membantu dua beranak tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya tolong wanita itu dan anaknya dengan ikhlas, atas dasar kemanusiaan dan rasa tanggungjawab sesama insan,” katanya semasa ditemui di Surau Madrasatul Huda pada Rabu.

Menceritakan kembali kejadian tersebut, beliau dimaklumkan oleh sepupunya mengenai seorang wanita yang dilihat berada di belakang rumah berdekatan surau itu.

Iklan

"Saya masih berada di surau selepas solat Maghrib dan minta sepupu tengok dahulu. Kemudian saya ikut serta dan dengan bantuan seorang rakan India, kami cuba berbual dengan wanita itu.

"Dia kelihatan sangat tertekan, nampak seperti tidak tahu ke mana hendak pergi, jadi kami bawa dia masuk ke surau untuk diberi perlindungan sementara,” ujarnya.

Iklan

Menurut Shamshul, wanita itu memaklumkan bahawa suaminya sedang menjalani hukuman penjara dan dia tinggal menumpang di rumah rakannya kira-kira 200 meter dari situ. Namun, difahamkan akibat perselisihan faham, dia mengambil keputusan membawa anaknya keluar rumah.

"Kami beri mereka makanan, minuman dan susu untuk bayinya yang masih kecil. Kami benar-benar simpati dengan keadaan mereka,” katanya.

Tambah Shamshul, beliau cuba membantu mencari ahli keluarga wanita berkenaan dengan memuat naik rakaman video ke TikTok, dan usaha itu membuahkan hasil apabila abangnya yang tinggal di Pulau Pinang berjaya dihubungi.

"Abangnya minta kami hantar adik dan anak saudaranya ke Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Alor Setar. Mujur kami sempat beli tiket terakhir ke Butterworth pada jam 10.18 malam,” jelasnya.

Katanya lagi, beliau dan beberapa rakan turut menunggu di stesen sehingga kereta api berlepas dan sempat melihat wanita berkenaan melambai sambil tersenyum, tanda lega dan gembira.

"Saya harap dapat bertemu semula dengan mereka satu hari nanti, sekurang-kurangnya untuk mengetahui keadaan mereka sekarang,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita keturunan India ditemukan dalam keadaan cemas dan bingung bersama bayinya di kawasan surau itu, dipercayai kerana tiada tempat untuk dituju dan berharap tidak dihalau.