BERGANDINGAN dengan pengacara dan personaliti televisyen terkenal, Daphne Iking, dalam filem pendek sempena Pesta Kaamatan 2025 terbitan Petronas, menjadi peluang besar buat Elldiwirna Saimen menyerlahkan bakat lakonannya dalam dunia seni tanah air.
Elldiwirna, yang juga naib johan Unduk Ngadau 2024, mengakui bahawa sebagai pendatang baharu dalam dunia lakonan, peluang beraksi di samping figura berpengaruh seperti Daphne memberikan pendedahan berharga serta mengasah kemahiran ke tahap lebih tinggi, selain membuka ruang untuk mengukuhkan kedudukannya dalam bidang seni.
"Menerusi filem pendek Tinorindak Olisi (Mahkota Teristimewa) ini, saya memegang watak utama sebagai Elyna Jamis, seorang peserta Unduk Ngadau yang bertanding di peringkat negeri.
"Dalam kisah ini, Elyna hanya mendapat tempat kedua, menyebabkan dia berasa kecewa dengan dirinya. Namun, dia sebenarnya dikelilingi oleh komuniti yang menyokong dan memahami, termasuk ahli keluarganya, dengan Daphne melakonkan watak sebagai ibunya," katanya selepas majlis pelancaran iklan TV Petronas sempena Pesta Kaamatan, pada Selasa.
Menurut Elldiwirna, jalan cerita filem tersebut sangat dekat dengan dirinya kerana turut mencerminkan pengalaman sebenar yang pernah dilalui.
"Dalam realiti, saya memang pemenang tempat kedua. Jadi, saya benar-benar dapat menyelami watak Elyna kerana perasaannya hampir sama dengan apa yang saya alami.
"Walaupun dalam realiti saya tidak terlalu kecewa, saya tahu bagaimana rasanya apabila kita ingin menang tetapi tidak berjaya. Ia tetap meninggalkan sedikit rasa terkilan," katanya.
Penuntut Sarjana Bioteknologi di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu turut meluahkan rasa terujanya apabila digandingkan dengan Daphne, yang juga pemenang Unduk Ngadau 2003.
"Pertama kali saya tahu beliau akan melakonkan watak ibu saya, saya sangat teruja. Pada masa yang sama, saya berhati-hati dan mengambil peluang untuk belajar sebanyak mungkin daripadanya.
"Saya sangat bersyukur kerana beliau banyak membantu saya mendalami watak ini dan sudah tentu ini peluang untuk saya melangkah ke hadapan," katanya.
Sementara itu, Daphne Iking berkata, filem pendek berkenaan merupakan satu perjalanan emosional yang membawanya kembali kepada akar budaya sebagai rakyat Sabah.
"Sebagai bekas Unduk Ngadau, saya pernah menjadi lambang tradisi, kekuatan dan semangat Huminodun. Watak ini membawa saya kembali kepada intipati tersebut, namun kali ini menerusi perspektif seorang ibu yang membimbing generasi baharu.
"Dalam banyak hal, ia mengingatkan saya bahawa Kaamatan bukan sekadar tentang keindahan luaran, tetapi juga tentang nilai, perjuangan dan kisah yang kita bawa dalam diri," katanya.
Filem pendek berdurasi 6 minit 30 saat itu ditayangkan di stesen televisyen dan melalui siaran YouTube Petronas bermula Selasa.
Berlatarbelakangkan landskap budaya dan kekayaan warisan tradisi Sabah, Tinorindak Olisi mengetengahkan bahasa Dusun sebagai bahasa pengantar utama, di samping dialek-dialek tempatan, sekali gus menonjolkan keindahan kepelbagaian etnik dan perpaduan dalam kalangan rakyat negeri ini.
Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Petronas, Siti Azlina A Latif berkata, tema tahun ini, Kaamatan Untuk Semua, mengingatkan bahawa kekuatan sebenar terletak pada sokongan dan perpaduan yang dikongsi sebagai sebuah komuniti.
"Melalui kisah ini, Petronas berharap dapat memberi inspirasi kepada kita semua untuk terus menyokong antara satu sama lain dalam perjalanan kita bersama menuju kejayaan," katanya.
Sebelum itu, filem pendek tersebut telah dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, merangkap Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.