Empat cedera nahas dua kereta

Iklan
Kemalangan melibatkan dua kereta turut menyebabkan kebakaran pada bahagian enjin kenderaan. Foto ihsan Bomba Perak

IPOH - Lima lelaki termasuk dua remaja berusia 19 tahun terselamat dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Lebuh Meru Raya di sini pada Selasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan insiden melibatkan kereta jenis Honda Civic dan BMW itu diterima pada jam 7.51 malam.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kemalangan itu turut menyebabkan kebakaran sebanyak 30 peratus pada bahagian enjin kereta Honda Civic berkenaan.

Sebuah kereta jenis BMW terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan empat mangsa cedera di Meru Raya, Ipoh. Foto ihsan Bomba Perak

"Dua mangsa berusia 22 dan 25 tahun yang menaiki kereta jenis BMW mengadu sakit di bahagian dada telah diberikan rawatan awal.

Iklan

"Pemandu kereta Honda Civic berusia 19 tahun mengalami patah kaki manakala rakan sebayanya yang juga penumpang hadapan selamat. Penumpang belakang berusia 22 tahun pula cedera di muka.

"Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai," katanya.

Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran melibatkan enjin kereta jenis Honda Civic yang dinaiki tiga lelaki termasuk dua remaja berusia 19 tahun di Meru Raya, Ipoh. Foto ihsan Bomba Perak

Iklan

Menurut beliau, mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans.

"Kerja-kerja pemadaman dilakukan menggunakan aliran bekalan air dari tangki jentera sehingga api dapat dipadam kan sepenuhnya.

"Operasi yang dilaksanakan oleh lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya itu tamat sepenuhnya pada jam 9.05 malam," katanya.