KUANTAN - Polis sedang mengesan beberapa individu yang terlibat dalam kes pukul seorang lelaki di sebuah kelab malam di Jalan Gambut di sini pada malam Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa berusia 51 tahun bekerja sebagai penjual ikan dipercayai bergaduh dan dipukul lima lelaki.
Menurutnya, pergaduhan dipercayai berpunca akibat salah faham semasa bermain snuker.
"Dalam pergaduhan itu, mangsa dipercayai dipukul menggunakan botol minuman hingga cedera di kepala dan jari kanan.
"Video kejadian tular selepas ia dimuat naik pengguna media sosial," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya turut menerima laporan polis dibuat mangsa pada hari berikutnya dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Menurutnya lagi, pihak polis kini dalam tindakan mengesan semua suspek yang terlibat
"Mana-mana pihak atau saksi yang melihat atau mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran.
"Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian di media sosial kerana tindakan tersebut boleh mengganggu siasatan," katanya.