PELAWAK dan pelakon popular, Yassin Yahya atau lebih dikenali sebagai Yassin Senario akhirnya mendedahkan punca sebenar penahanannya di Jeddah, Arab Saudi, pada Oktober lalu.
Menurut Yassin, 47, beliau bukan dipenjarakan, sebaliknya ditahan di lokap polis Jeddah selama 10 hari sebelum ditempatkan di Pusat Pentadbiran dan Pengusiran Warga Negara Asing Jeddah.
Pelakon filem Man Laksa itu kemudiannya dibicarakan secara atas talian pada 19 November dan dijatuhi hukuman enam bulan atas kesalahan membawa barangan bercetak lambang larangan.
"Sebelum berlepas, saya terfikir bagaimana saya hendak merokok, jadi saya beli rokok kertas, pengisar dan sekotak rokok di lapangan terbang.
"Sebaik tiba di Lapangan Terbang Jeddah, pihak kastam mengesan sesuatu dan mengarahkan beg saya dibuka ketika proses imbasan.
"Mereka memaklumkan saya membawa barang mencurigakan yang mengandungi lambang larangan, dan saya terus ditahan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam audio siar Darkcast, Episod Khas – Yassin Yahya: Bersalah atau ??? bersama Saiful Apek yang disiarkan di saluran YouTube Gitu Gitu Studio pada Isnin.
Tambah Yassin, yang juga bekas peserta Sinaran Pasport Kegemilangan 1998, beliau terus digari selepas disoal siasat dan dibawa ke balai polis di Jeddah.
Tidak diberi peluang membela diri, beliau kemudiannya dipindahkan ke pusat tahanan, dan terpaksa tidur dalam keadaan berdiri disebabkan ruang sel yang padat.
"Saya tidak tahu undang-undang di sana. Semasa di Malaysia, saya tidak sempat mengikuti kursus umrah kerana jadual kerja yang padat. Itu kesilapan saya.
"Dalam perjalanan, saya hanya berserah kepada ALLAH, sentiasa berzikir dan memohon doa.
"Kali pertama saya tidur berdiri kerana lantai penuh. Akhirnya saya dapat tidur di hadapan pintu tandas dan nampak kaki orang melangkah saya selama lapan hari,” ceritanya.
Pengajaran
Yassin turut menitipkan nasihat agar jemaah umrah lebih berhati-hati susulan peraturan yang ketat di Arab Saudi, terutamanya berkaitan barangan yang boleh mengundang salah faham.
"ALLAH mengetahui segala sesuatu dan ini adalah perjalanan saya. Saya yakin musibah ini adalah kebaikan buat saya. Saya bersangka baik dan reda atas ketentuan ini.
"Saya bermuhasabah dan berazam untuk memperbaiki diri,” ujarnya.
Dalam video yang sama, Yassin menzahirkan rasa kesyukuran dan menyeru agar masyarakat tidak mudah melatah apabila diuji.
"Kebenaran itu akan tiba. Saya tidak marah kepada sesiapa. Saya berterima kasih kepada mereka yang ambil berat, dan saya maafkan mereka yang menyebarkan fitnah kerana mungkin mereka risaukan saya,” katanya.
Sebelum ini, nama Yassin dikaitkan dengan laporan bahawa seorang pelawak Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Jeddah atas kesalahan berkaitan dadah.