HANOI –Kunjungan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron ke Vietnam dikejutkan dengan insiden mencemaskan apabila isterinya, Brigitte Macron dilihat menolak wajah suaminya sebaik pesawat mereka mendarat di Hanoi pada Ahad, lapor Dailymail.co.uk.
Rakaman video yang tular memaparkan pintu pesawat dibuka sebelum tangan Brigitte muncul dan menolak muka Macron ketika beliau mahu keluar menyambut tetamu rasmi.
Aksi spontan itu menyebabkan Presiden Perancis kelihatan terkejut, namun beliau segera kembali tenang dan melambai ke arah pegawai Vietnam.
Namun, Brigitte tidak kelihatan sepenuhnya dalam rakaman itu kerana tersembunyi di sebalik badan pesawat, namun jelas dia tidak mengendahkan huluran tangan suaminya ketika mereka menuruni tangga.
Pejabat Presiden Perancis pada awalnya menafikan kesahihan video tersebut sebelum mengesahkannya sebagai insiden sebenar.
Seorang pegawai di Istana Elysee kemudian menjelaskan ia hanyalah"gurauan antara suami isteri” sebelum perjalanan rasmi bermula.
"Saat itu adalah momen keakraban antara pasangan, bukan pergaduhan. Ia tidak patut dibesar-besarkan,” ujar jurucakap Istana Elysee sambil menafikan dakwaan insiden itu berpunca daripada pertengkaran rumah tangga.
Insiden tersebut bagaimanapun menjadi tular dalam kalangan akaun media sosial yang sering mengkritik kepimpinan Macron, khususnya akaun pro-Rusia.
Sebelum ini, Macron juga terpalit kontroversi apabila didakwa menyembunyikan dadah dalam gambar bersama pemimpin Jerman dan UK, iaitu satu dakwaan yang kemudian disahkan palsu.
Lawatan Macron ke Vietnam merupakan kunjungan rasmi pertama oleh seorang Presiden Perancis dalam tempoh hampir sedekad.
Dalam kunjungan itu, Macron menandatangani puluhan perjanjian melibatkan pertahanan, tenaga nuklear dan perdagangan termasuk pembelian 20 pesawat A330-900 oleh VietJet daripada Airbus.
Macron turut mengunjungi tugu peringatan perang di Hanoi dan bertemu pemimpin tertinggi Vietnam termasuk Presiden Luong Cuong serta Setiausaha Agung Parti Komunis, To Lam.
Beliau turut melawat Kuil Kesusasteraan bersejarah di ibu negara. – Agensi