FILEM animasi Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) meraih sokongan luar biasa apabila telah mencatat kutipan RM15.3 juta dalam tempoh empat hari tayangannya.
Karya terbaharu terbitan Primeworks Studios dan WAU Animation itu turut mencatat sejarah sebagai pembukaan tayangan animasi tempatan yang terbesar bermula di 161 lokasi pawagam serentak di seluruh Malaysia dan Brunei pada 22 Mei lalu.
Pengarah EATM2 merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation Usamah Zaid Yasin, berkata sambutan hangat ini membuktikan keterujaan penonton yang tidak sabar menyaksikan kepulangan Ejen Ali di layar perak dan pihaknya turut menjangkakan catatan angka yang lebih tinggi apabila musim cuti sekolah bermula pada 29 Mei.
"Alhamdulillah, sejak sesi Fans Screening sehingga ke tayangan rasmi di pawagam, sokongan yang kami terima sangat luar biasa.
"Bagi pihak produksi, kami berasa amat terharu dan gembira setiap kali membaca komen serta maklum balas daripada penonton.
"Semua itu sangat bermakna buat kami dan lebih menggalakkan kami sebagai pengkarya untuk terus mengusahakan naskhah Ejen Ali yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan.
EATM2 mengisahkan perjalanan Ali yang dipilih sebagai perintis bagi misi berisiko tinggi di bawah SATRIA iaitu program elit menggunakan sut berteknologi tinggi dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).
Namun, misi itu menjadi kompleks apabila Rizwan memohon bantuan Ali untuk menjejak dalang sebenar di sebalik siri ancaman yang menggugat keselamatan Cyberaya.
Pada masa sama, Neonimus, seorang penggodam misteri yang menyimpan dendam terhadap Ali, muncul kembali, namun niat sebenarnya mencetuskan kekacauan menjadi tanda tanya.
Bagaimanapun, dalam dunia penuh tipu muslihat dan bahaya itu menjadikan setiap keputusan diambil Ali adalah penentu, bukan hanya untuk dirinya, tetapi masa depan seluruh kota Cyberaya.