SUNGAI BULOH – Seorang lelaki yang juga pempengaruh politik diserang sekumpulan individu di pondok pengawal di Bandar Seri Coalfields, di sini, dipercayai akibat ketidakpuasan hati terhadap siaran langsung di aplikasi TikTok berkaitan isu politik.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam, Sabtu lalu.
Menurutnya, polis telah menerima dua rakaman video tular yang memaparkan kejadian pergaduhan melibatkan beberapa individu.
"Satu laporan telah diterima daripada seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun.
"Punca pergaduhan dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati sekumpulan individu terhadap siaran langsung TikTok yang dimuat naik oleh pengadu, yang antara lain menasihatkan agar tidak bergaduh, tidak berlagak seperti gengster dan mengajak berpolitik secara matang tanpa provokasi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Hafiz berkata, kenyataan tersebut dipercayai menyinggung pihak terbabit, lalu mencetuskan tindakan provokatif dan serangan fizikal terhadap pengadu di kawasan kediamannya.
Tambah beliau, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kesakitan di beberapa bahagian badan dan muka.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan video kejadian di media sosial bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis,” tegasnya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Azraai Mohamad Amin di talian 018-9696941.
Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.