PASTAM tidak mahu beri tekanan kepada Melaka Titans

Iklan
Akramuddin (tengah) bergambar bersama pemain Melaka Titans selepas sesi sempena pengenalan barisan pemain Melaka Titans di Alai, pada malam Ahad.

PERSATUAN Sepaktakraw Melaka (PASTAM) tidak mahu memberi tekanan kepada Melaka Titans dalam saingan Divisyen Satu Liga Sepaktakraw (STL) musim ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, pendekatan itu penting supaya ahli pasukan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada setiap perlawanan yang dihadapi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, atas sebab itu pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran besar dalam saingan STL yang bakal bermula tidak lama lagi.

Katanya, bagi memperkukuh pasukan, PASTAM akan membawa masuk dua pemain import dari Thailand, iaitu Yodsanon Laemthaisong (apit kanan) dan Khathadet Srichan (tekong), yang akan bersama pasukan sehingga akhir tahun 2025.

Iklan

"Penting untuk pemain kerana kita tidak mahu mereka terbeban dengan sasaran kejuaraan.

"Lebih penting ialah tumpuan dan semangat juang setiap kali turun ke gelanggang,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi pengenalan barisan pemain Melaka Titans di Alai, di sini, pada malam Ahad.

Iklan

Mengulas lanjut, Akramuddin berkata, kedua-dua pemain import itu memiliki pengalaman luas dalam kejohanan utama di Thailand dan kehadiran mereka diharap mampu meningkatkan prestasi pasukan secara keseluruhan.

Ujarnya, Melaka Titans turut dibarisi beberapa pemain utama tempatan, antaranya Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Muhammad Zaim Razali dan Muhammad Danial Zakwan Mohd Hairol (apit kiri), serta Adam Ameerul Khairul Anuar dan Muhammad Asyraaf Zawawi (apit kanan).

"Namun, tonggak negara dan killer utama negara, Azlan Alias, tidak dapat diturunkan kerana masih menjalani rawatan di Akademi Sepaktakraw Malaysia (ASTAM) susulan kecederaan,” katanya.

Sebagai rekod, dalam saingan Divisyen Satu STL 2025, Melaka Titans diundi dalam Kumpulan D bersama Sabah dan Penjara Enforcers.