SHAH ALAM - Syarikat penyedia perkhidmatan, Grab Malaysia selaku rakan strategik Kementerian Luar Negeri (KLN) melancarkan kempen Kerana ASEAN bagi meningkatkan kesedaran dan pendidikan awam mengenai kepentingan negara sebagai Pengerusi ASEAN serta peranannya dalam memupuk kerjasama serantau.
Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, Kerana ASEAN mencerminkan komitmen pihaknya dalam memajukan prinsip-prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di seluruh Asia Tenggara.
Melalui inisiatif tersebut, kata Adelene, Grab menyasarkan rantau yang lebih mampan dan berhubung secara digital sekali gus mengukuhkan misinya untuk memperkasakan komuniti seharian.
"Kempen Kerana ASEAN ialah tonggak utama inisiatif #GrabBersamaASEAN yang menyokong peranan kerajaan dalam menerajui visi dan tema ASEAN tentang keterangkuman serta kemampanan.
"Ia juga direka untuk mendidik rakyat Malaysia dan komuniti ASEAN tentang kepentingan kerjasama serantau serta bagaimana mereka mendapat manfaat daripadanya.
"Sebagai jenama tempatan, kami amat berbesar hati melancarkan kempen Kerana ASEAN. Kami juga berhasrat untuk menterjemahkan keutamaan serantau peringkat tinggi dan manfaatnya buat rakyat Malaysia sejajar misi kami," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kempen Kerana ASEAN akan berlangsung sepanjang tahun dengan pelbagai aktiviti dirancang merentasi platform digital dan fizikal.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Grab Malaysia, Anthony Tan memaklumkan, pihaknya turut mengadakan pameran khas sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 sebagai tambahan kepada kempen berkenaan.
Jelas beliau, ruang pameran menyediakan beberapa teknologi inklusif terkini dan komitmen ESG di seluruh rantau antaranya 'AI Merchant Assistant' iaitu alat dinamik rekaan khas bagi memacu perkembangan serta melancarkan operasi rakan-niaga dalam ekosistem Grab.
Tambahnya, teknologi itu memberikan pandangan peribadi, cadangan yang boleh dilaksanakan dan sokongan sembang interaktif bagi memperkasakan rakan-niaga dalam membuat keputusan.
Selain itu, katanya, 'AI Driver Companion' juga menyediakan cadangan masa nyata kepada rakan-pemandu tentang lokasi berdekatan yang mempunyai permintaan tinggi dengan masa menunggu lebih singkat bagi mengoptimumkan kecekapan serta meningkatkan peluang pendapatan.
"Sorotan ESG Grab 2024 pula mewujudkan peluang pendapatan mampan. Rakan-pemandu dan rakan-niaga Grab memperoleh $12.8 bilion menerusi platform ini dengan lebih 99 peratus rakan-pemandu mencapai gaji minimum tempatan setiap jam. Grab juga telah menyerap 600,000 perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"Dari aspek memecah halangan untuk peluang saksama, seramai 135,000 Rakan Orang Kurang Upaya (OKU) dan rakan-pemandu wanita memperoleh pendapatan melalui Grab pada 2024 di seluruh rantau.
"Bagi memacu pengurangan sisa berskala besar, sebanyak 18 'AI Reverse Vending Machines' ditempatkan di seluruh Lembah Klang dengan kerjasama KLEAN, F&N, MRANTI dan Asasrama. Selain itu, Jaya Grocer dengan inisiatif pili botol susu boleh isi semula Farm Fresh," ujar Anthony.