Beri sedikit masa penyokong Rafizi bertenang – Aminuddin

Iklan
Aminuddin

SEREMBAN - Beri sedikit masa kepada penyokong Datuk Seri Rafizi Ramli untuk bertenang selepas pemimpin itu tewas jawatan Timbalan Presiden dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Sabtu.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, walaupun terdapat suara menunjukkan kekecewaan namun beliau yakin kumpulan berkenaan akan tetap kekal setia bersama parti.

Iklan
Iklan

"Saya sebahagian daripada orang kuat beliau dan saya yakin bahawa penyokong-penyokong beliau akan mengambil masa sedikit untuk bertenang dan akan memberikan sokongan semula kepada parti.

"Mereka tidak akan keluar meninggalkan parti cuma memerlukan masa untuk menilai semula keadaan dan strategi seterusnya di peringkat cabang dan ranting," katanya selepas merasmikan penutupan kejohanan Sepak Takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, perbezaan pendapat merupakan perkara biasa dalam politik terutama dalam parti yang mengamalkan demokrasi seperti PKR.

"Walaupun pemilihan telah berakhir dua hari lalu namun isu Rafizi tewas masih terus diperdebatkan dan dibincangkan di media sosial. Ia perlu kita tangani secara matang dan terbuka.

Iklan

"Segala kelemahan perlu diperbaiki dengan mengambil kira semua pandangan disuarakan untuk memastikan PKR terus menjadi sebuah parti yang betul-betul membawa aspirasi rakyat," katanya.

Pada masa sama, beliau tidak menyangka berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR dan berterima kasih kepada pengundi yang memberikan sokongan.

Beliau mengganggap, jawatan itu merupakan amanah besar yang perlu digalas menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).