Cklamovski puas hati fasa pertama latihan Harimau Malaya

Iklan
Peter Cklamovski

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski meluahkan rasa puas hati terhadap kelancaran kem latihan fasa pertama yang berlangsung di Johor Bahru dan bersedia untuk meneruskan persiapan ke fasa kedua.

Menurut pengendali kelahiran Australia itu, beberapa tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menyertai latihan fasa kedua dengan fokus utama kepada pembentukan formasi dan penerapan taktikal pasukan.

Iklan
Iklan

"Sekali lagi kami akan fokus untuk membentuk taktikal permainan dan membina identiti sebagai satu pasukan, baik di dalam mahupun di luar padang, demi memastikan peminat bola sepak tanah air berbangga dengan Harimau Malaya.

"Agenda utama kami adalah untuk memajukan corak permainan pasukan. Setiap pemain perlu memahami falsafah permainan yang diterapkan. Malah, mereka baru sahaja berehat hampir empat minggu selepas berakhirnya saingan Liga Malaysia (Liga M),” katanya.

Iklan

Tambah beliau, pemain yang melapor diri menunjukkan tahap kecergasan yang memuaskan dan menjalani latihan dengan penuh semangat.

Dalam pada itu, Cklamovski turut memaklumkan pemain tengah Endrick Dos Santos hanya sempat menjalani latihan selama sehari kerana kurang cergas dan kini sedang menjalani proses pemulihan.

Iklan

Pada masa sama katanya, penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed juga melaporkan diri dengan tahap kecergasan yang memuaskan.

Mengulas kehadiran dua pemain warisan, Rodrigo Holgado dan Gabriel Palmeiro yang pertama kali menyertai kem latihan sebagai persiapan menghadapi Vietnam dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027, beliau berkata, masih terlalu awal untuk membuat penilaian menyeluruh.

"Terlalu awal untuk menilai Rodrigo. Kita beri dia ruang untuk menyesuaikan diri dalam latihan terlebih dahulu.

"Gabriel pula tiba dengan kecergasan yang baik selepas beberapa perlawanan di Eropah. Dia menunjukkan komitmen tinggi dan mempersembahkan aksi menarik dalam latihan sejak tiba pada 21 Mei lalu,” katanya.

Cklamovski turut menjelaskan keputusan membawa lima penjaga gol ke kem latihan sebagai sebahagian daripada perancangan pasukan, namun hanya empat akan terus dikekalkan dalam dua fasa latihan menjelang aksi persahabatan menentang Cape Verde pada 29 Mei ini.

"Haziq (Nadzli) akan dilepaskan seketika untuk menyertai skuad Asian All-Stars menentang Manchester United pada 28 Mei ini, dan akan dipanggil semula selepas itu.

"Buat masa ini, saya akan teruskan latihan bersama empat penjaga gol iaitu Ahmad Syihan, Azri Ghani, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Syed Nasrulhaq Syed Bidin mengikut perancangan yang telah ditetapkan,” katanya.