Geng Bob curi sarung meter air tumpas

Iklan
Hanyan (dua dari kanan) menunjukkan sarung meter air tembaga yang dirampas semasa sidang media pada Ahad.

SUNGAI PETANI – [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Syarikat Air Darul Aman (SADA) berjaya menumpaskan Geng Bob yang disyaki menjalankan kegiatan mencuri sarung meter air di sekitar Daerah Kuala Muda sejak enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, dua lelaki warga tempatan berumur 30 dan 34 tahun telah ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan di sekitar bandar ini baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Menurutnya, polis turut merampas 45 unit sarung meter air tembaga milik SADA dengan nilai kerugian anggaran RM6,000 dan satu beg plastik hitam berisi wayar tembaga yang telah dibakar anggaran berat 11.05 kilogram manakala sebuah kereta disyaki milik suspek, disita.

Rampasan turut membabitkan wayar tembaga yang telah dibakar dalam satu beg plastik seberat anggaran 11.05 kilogram.

"Kerugian bukan sahaja dialami oleh mangsa, malah kejadian ini turut menyebabkan kerugian kepada negara yang mencecah jutaan ringgit ekoran pembaziran air yang telah dirawat apabila berlaku kecurian sarung meter paip,” katanya kepada media.

Iklan

Beliau menjelaskan bahawa kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah serta dadah sebelum ini.

Katanya, kegiatan jenayah tersebut dipercayai bermula pada awal pagi dan menyasarkan kediaman orang awam. Ia juga dipercayai aktif sejak enam bulan lalu.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, polis turut menahan seorang pembeli yang juga merupakan pengusaha premis barangan lusuh dalam satu serbuan berasingan.

"Satu unit sarung meter jika diikutkan berharga RM120, tetapi suspek hanya memperoleh sebanyak RM15 seunit apabila dijual kepada pengusaha barangan lusuh,” jelasnya.

Menurut beliau, serbuan di bawah Op Lusuh ini merupakan yang pertama seumpamanya dilaksanakan di daerah ini yang melibatkan sarung meter air tembaga. Beliau turut menasihati orang ramai agar memasang kunci tambahan pada meter air bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Beliau turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di talian 04-4299222.