Dua beradik sanggup berhenti kerja demi jaga ibu sakit

Iklan
Nor Ain (kiri) disamping ibunya, Rosila yang menghidap penyakit buah pinggang.

KEMAMAN – Dua beradik sanggup berhenti kerja demi menjaga ibu mereka yang menghidap penyakit buah pinggang tahap lima di Kampung Lubuk Lesung, Kijal, di sini.

Nor Ain Natasha Maae, 24, yang sebelum ini bekerja sebagai guru taska di Shah Alam dan abangnya, Mohd Ikram Nizam, 29, yang bertugas di sebuah pasar raya di daerah ini, nekad meninggalkan pekerjaan demi memberikan sepenuh perhatian kepada ibu mereka, Rosila Noor, 54.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini mak kerja buruh ladang sawit. Selepas disahkan sakit, hidup kami berubah sepenuhnya. Kami perlu sentiasa berada di sisi dia untuk membantu.

"Lagipun kami tak sanggup tengok mak terlantar tanpa ada orang uruskan," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Iklan

Menurut Nor Ain, mereka kini bergantung sepenuhnya kepada wang simpanan bagi menampung perbelanjaan harian serta keperluan tiga lagi adik yang masih belajar, termasuk dua daripadanya sedang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya lagi, ibu mereka kini berdepan kesukaran mendapatkan rawatan dialisis kerana masih menunggu proses permohonan rawatan susulan selepas disahkan menghidap penyakit kronik itu pada Oktober tahun lalu.

Iklan

"Buat masa ini, mak baru sempat jalani dua kali rawatan hemodialisis di hospital kerajaan. Sepatutnya, dia perlu jalani rawatan tiga kali seminggu di pusat hemodialisis swasta, tapi kosnya sangat tinggi.

"Setiap kali rawatan boleh mencecah RM300, tidak termasuk kos perjalanan. Dalam seminggu, kami perlukan hampir RM1,000 hanya untuk rawatan dialisis sahaja," katanya.

Sementara itu, Rosila yang juga ibu tunggal berkata, tahap kesihatannya semakin merosot kerana tidak menerima rawatan mengikut jadual.

Dia yang sebelum ini merupakan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyatakan hasrat memohon bantuan bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan rawatan.

"Buat masa ini saya masih menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital untuk hantar permohonan.

"Saya dah tak mampu bekerja sebagai buruh ladang. Badan lemah, kaki pun tak kuat. Pernah terlantar dua bulan kerana tak dapat rawatan.

"Sekarang saya hanya bergantung kepada anak-anak untuk teruskan hidup," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu mengurangkan bebanan keluarga ini boleh menghubungi Mohd Ikram Nizam Maae di talian 011-6109 4809.