BEIJING - Lebih 50 pelajar Sekolah Menengah Yilong menghasilkan gambar tamat pengajian yang luar biasa apabila mereka berjalan kaki sejauh lebih dua kilometer (km) ke hospital demi seorang rakan sekelas mereka yang sedang bertarung nyawa.
Menurut laporan myNEWS, pada 17 Mei lalu, sekumpulan pelajar dan beberapa guru berjalan kaki ke Hospital Rakyat Yilong untuk mengambil gambar graduasi bersama Ren Junjie, 15, yang sedang dirawat akibat kanser limfoma.
Ren telah didiagnosis menghidap penyakit itu tahun lalu dan terpaksa berhenti sekolah untuk menjalani rawatan intensif, termasuk pemindahan ke bandar lain.
Baru-baru ini, dia kembali ke hospital di kampung halamannya dalam keadaan lemah dan hanya tinggal menghitung hari.
Mengetahui keadaannya yang semakin merosot, seorang guru mencadangkan gambar tamat pengajian diambil bersama Ren dan semua rakan sekelasnya bersetuju.
Di hospital, beberapa pelajar membantu Ren mengenakan pakaian seragam sekolah dan menolaknya keluar menggunakan katil hospital, kemudian berkumpul di sekeliling Ren serta bergambar bersama untuk kenangan.
Ren turut dihadiahi sebiji bola keranjang khas ditandatangani semua rakan sekelas yang tertera namanya dan surat-surat yang penuh dengan kata-kata semangat serta harapan.
Bagaimanapun, keluarga mengumumkan Ren telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 4 pagi keesokannya hanya beberapa jam selepas gambar kenangan itu diambil.
Bapa Ren menyatakan rasa terima kasih mendalam kepada pihak sekolah atas usaha mereka yang membolehkan keluarga itu menyimpan kenangan terakhir anak mereka bersama rakan-rakan seperjuangan.
Perkongsian kisah menyayat hati berkenaan menyentuh jutaan hati di China dan mendapat perhatian meluas di media sosial, dengan lebih daripada lapan juta tontonan dalam talian.
Rata-rata warga maya meluahkan kesedihan dan kekaguman terhadap kasih sayang serta solidariti yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar muda itu.
"Dalam gambar kumpulan terakhir dalam hidupnya, mengelilinginya adalah rakan sekelas dan guru terbaik di dunia," kata seorang pengguna internet.
"Dia pergi ke syurga keesokan harinya selepas gambar berkumpulan. Mungkin dia telah bertahan untuk detik berharga ini," tambah seorang lagi.
"Pelajar dalam kelasnya mendapat pelajaran paling bermakna yang tidak dapat dipelajari daripada buku teks," komen seorang lagi.