JELI - Terletak kira-kira 14 kilometer dari Bandar Jeli, Air Terjun Lata Renyuk yang berada di Kampung Renyuk di sini yang sebelum ini menjadi ‘permata’ tersembunyi kini semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan keindahan asli alam semula jadi.
Menariknya, punca air yang mengalir masuk ke Sungai Pergau dan Sungai Renyuk itu berasal dari Banjaran Titiwangsa yang bertindak sebagai ‘tulang belakang’ Semenanjung Malaysia dan memisahkan Pantai Barat dengan Pantai Timur.
Menurut Penghulu Mukim Reka, Abu Bakar Yazid, Air Terjun Lata Renyuk boleh diakses oleh semua kenderaan sekali gus mudah untuk dimasuki.
"Di sini (Air Terjun Lata Renyuk) mempunyai sebuah mini hidroelektrik yang beroperasi hingga hari ini," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, Sungai Renyuk juga merupakan salah satu punca utama bekalan air ke Empangan Hidroelektrik Pergau sekali gus menjadikan kawasan terbabit bukan sahaja penting dari sudut pelancongan, malah dari aspek kejuruteraan dan tenaga.
Ujarnya, pelbagai kemudahan infrastruktur telah dibangunkan di kawasan air terjun tersebut termasuk dewan serbaguna, surau, tandas serta tapak perkhemahan yang sentiasa dibersihkan dan diselenggara bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.
Abu Bakar memberitahu, kawasan sekitar dewan juga telah dipagar bagi menjamin keselamatan pengunjung yang datang bersama keluarga.
"Untuk ke sini, pengunjung boleh menggunakan laluan Jeli-Jelawang-Gua Musang atau jalan menghala ke Kuala Balah.
"Dengan kemudahan yang tersedia dan keindahan semula jadi yang memukau, Air Terjun Lata Renyuk sememangnya destinasi yang sesuai untuk aktiviti rekreasi dan perkhemahan,” katanya
Justeru bagi mereka yang ingin melarikan diri daripada kesibukan kota dan menyelami keindahan alam semula jadi, Air Terjun Lata Renyuk pilihan yang tepat untuk diterokai.
Tambah Abu Bakar, kawasan air terjun itu turut dilengkapi kolam renang khas yang menakung air terjun untuk kegunaan kanak-kanak mandi-manda bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.
Dalam pada itu, beliau berkata, untuk menjaga keceriaan serta kebersihan kawasan tersebut juga pihaknya ada meminta sedikit sumbangan ikhlas daripada pengunjung.
"Duit itu diguna untuk pastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa,” ujarnya.