Lelaki maut dipercayai dipatuk haiwan berbisa di bilik mandi

Iklan
Muhamad Rafizal menunjukkan kecederaan pada kaki kanan dialami bapa saudaranya sebelum meninggal dunia.

SETIU – Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai akibat dipatuk haiwan berbisa ketika berada di bilik mandi rumahnya di Kampung Payung, di sini, pada Sabtu.

Mangsa, Abdul Kadir Setapa, 57, difahamkan sempat menghubungi isterinya yang sedang bekerja untuk memaklumkan bahawa beliau telah terkena patukan di kaki kanan oleh seekor haiwan yang tidak dikenal pasti.

Iklan
Iklan

Anak saudaranya, Muhamad Rafizal Razali, 31, berkata, beliau menerima panggilan kecemasan daripada ibu saudaranya sekitar jam 11 pagi.

"Bapa saudara saya juga sempat menghubungi saya sendiri untuk memberitahu keadaannya.

Iklan

"Sebaik menerima panggilan, saya segera bergegas ke rumah dan mendapati beliau dalam keadaan lemah, duduk tersandar. Saya terus meminta bantuan rakan yang kebetulan melalui kawasan rumah untuk membawa beliau ke hospital.

"Sepanjang perjalanan, keadaannya semakin lemah dan akhirnya beliau tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Payung, di sini, pada Ahad.

Iklan

Bagaimanapun, menurut Rafizal, beliau dimaklumkan bahawa bapa saudaranya meninggal dunia tidak lama kemudian.

"Setibanya di hospital, beliau terus dibawa ke zon kecemasan namun tidak lama selepas itu anaknya menghubungi saya untuk memaklumkan bahawa beliau telah meninggal dunia,” katanya.

Rafizal turut memaklumkan bahawa Allahyarham Abdul Kadir sebelum ini mempunyai sejarah penyakit jantung dan asma serta pernah menerima rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.