Rekod 'catwalk' tertinggi dalam busana tradisional bakal dicipta

Iklan
Huda (dua dari kanan) bersama Pengurus Besar Wyndham Ion Majestic Hotel, David Lean D.H (dua dari kiri) dan Pengerusi Hoverland Sdn Bhd, Datuk Alex Siaw Teck Hwa selepas sidang akhbar Miss & Mrs Majestic International 2025 pada Sabtu.
GENTING HIGHLANDS - Malaysia bakal mencipta sejarah tersendiri menerusi penganjuran pertandingan ratu cantik berprestij, Miss & Mrs Majestic International 2025 di puncak Genting Highlands, Ogos depan.

Pertandingan yang menghimpunkan peserta dari lebih 30 negara ini bukan sahaja menonjolkan keanggunan dan keyakinan wanita dari seluruh dunia, bahkan turut menjulang martabat batik tempatan ke persada antarabangsa.

Pengasas dan penganjur pertandingan, Huda Hassan berkata, acara itu bertujuan memperkasa industri batik tempatan, meraikan kepelbagaian budaya serta menyumbang kepada sektor pelancongan negara.

"Pertandingan ini lebih daripada sekadar menobatkan ratu. Ia adalah satu gerakan budaya yang mengangkat keyakinan dan kekuatan dalaman wanita,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, antara detik yang paling dinanti-nantikan ialah usaha mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records bagi kategori 'Catwalk Tertinggi Dalam Busana Tradisional' yang bakal diadakan di Hoverland Genting Highlands.

Huda (kiri) dan rakan kongsinya, Roslina Rosli menunjukkan koleksi pakaian batik yang diperagakan ketika sidang akhbar Miss & Mrs Majestic International 2025 pada Sabtu.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Hoverland yang terletak pada ketinggian 6,106 kaki turut dikenali dengan dua rekod sedia ada iaitu Highest Altitude Observation Deck dan Highest Altitude Building-Edge Skywalk. Keindahan panorama Banjaran Titiwangsa menjadi tarikan utama pelancong di lokasi ini.

Catwalk berbusana batik yang bakal berlangsung di Hoverland bukan sahaja mempamerkan estetika tradisional, bahkan mencerminkan keberanian dan kebijaksanaan wanita moden.

"Ia simbolik kepada kekuatan dan ekspresi diri wanita masa kini,” jelas Huda.

Hoverland turut menawarkan lokasi bergambar ikonik seperti Stairway to Heaven dan Rhythm at the Sky, dihiasi elemen ‘alang-alang’ yang menyerlahkan suasana puncak bukit.

Pertandingan utama dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 10 Ogos 2025 di Wyndham Ion Majestic Hotel, Genting Highlands, hotel bertaraf lima bintang yang juga merupakan hotel tertinggi di Malaysia.

Acara ini turut menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 serta visi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk memacu industri pelancongan dan ekonomi kreatif negara.

"Kami yakin pertandingan ini akan membuka lebih banyak peluang kepada industri pelancongan, fesyen dan warisan negara untuk menembusi pasaran global,” kata Huda.