Kontrak RM108 juta dibatalkan, Bangladesh balas tindakan India

Iklan
Yunus (kiri) dan Perdana Menteri India, Narendra Modi. Foto Agensi

DHAKA - Bangladesh membatalkan kontrak pertahanan bernilai 180.25 crore rupee (kira-kira RM108 juta) dengan syarikat pembuat kapal milik kerajaan India, dipercayai sebagai tindak balas terhadap penarikan kemudahan transit kapal oleh India, susulan ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara.

Menurut laporan India Today pada Jumaat, Garden Reach Shipbuilders & Engineers Ltd (GRSE) – syarikat di bawah Kementerian Pertahanan India yang beribu pejabat di Kolkata – memaklumkan kepada bursa saham pada Rabu bahawa kerajaan Bangladesh telah membatalkan kontrak tersebut.

Iklan
Iklan

Kontrak berkenaan melibatkan pembinaan sebuah kapal tunda laut dalam berteknologi tinggi, khusus untuk misi menarik dan menyelamat di lautan terbuka.

Tindakan Bangladesh itu dipercayai sebagai reaksi kepada keputusan India baru-baru ini yang menamatkan kemudahan transit kargo Bangladesh ke negara ketiga.

Iklan

Langkah berkenaan menyusul selepas kenyataan kontroversi daripada pemimpin kerajaan sementara Bangladesh, Muhammad Yunus, yang menyifatkan timur laut India sebagai ‘tanah tanpa laut’ dan mendakwa Dhaka sebagai ‘penjaga tunggal’ lautan di rantau tersebut.

Dalam satu pertemuan berasingan dengan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nepal, Yunus turut menekankan keperluan untuk membentuk strategi ekonomi bersama membabitkan timur laut India, Nepal, Bhutan dan Bangladesh – khususnya dalam sektor tenaga hidroelektrik, kesihatan dan pengangkutan.

Iklan

Susulan ketegangan diplomatik yang memuncak, India pada 18 Mei mengenakan sekatan ketat terhadap import barangan dari Bangladesh, termasuk pakaian siap pakai dan makanan siap proses.

Menurut kenyataan rasmi Pengarah Perdagangan Luar India, tiada pakaian siap pakai dari Bangladesh dibenarkan masuk melalui Pos Pemeriksaan Bersepadu di timur laut India. - Agensi