Pemandu lori sampah meninggal dunia di tempat duduk kelindan

Iklan
Pemandu lori sampah ditemukan meninggal dunia semasa bertugas di Jalan Cottage Walk, Cyberjaya, Selangor pada Jumaat. - Foto: PDRM.

SEPANG – Seorang pemandu lori sampah disahkan meninggal dunia di tempat duduk kelindan semasa sedang bertugas di Jalan Cottage Walk, Cyberjaya, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu menerusi panggilan MERS 999 daripada orang awam pada jam 10.45 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, laporan tersebut memaklumkan bahawa seorang lelaki ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah lori sampah.

"Sepasukan polis dari Balai Polis Cyberjaya telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa dalam keadaan tersandar di tempat duduk hadapan, di bahagian kelindan lori berkenaan.

Iklan

"Mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 69 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori sampah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau menegaskan, tiada unsur jenayah dikesan di lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Iklan

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi, Hospital Cyberjaya untuk proses bedah siasat.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini.

"Mereka yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-8777 4222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.