HARI ini pemilihan PKR bakal memutuskan siapa akan mengisi jawatan penting parti bagi penggal 2025-2028.
Ketika tumpuan ramai terarah kepada kerusi Timbalan Presiden dan Naib Presiden, umum juga turut mula beralih kepada pertandingan yang mungkin tidak sepopular dua jawatan tersebut, namun kesannya jauh lebih besar daripada disangka iaitu jawatan Ketua Wanita PKR.
Pertembungan antara penyandang jawatan, Fadhlina Sidek yang kini Menteri Pendidikan dan pencabarnya, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail membuka jendela kepada perdebatan lebih mendalam tentang arah tuju wanita dalam politik PKR.
Pertandingan itu bukan sekadar soal pengaruh atau populariti, ia menyentuh jantung persoalan utama tentang bagaimana sayap wanita dalam parti politik membayangkan peranannya dalam politik masa depan.
Fadhlina tampil dengan persona teknokrat yang tenang, strategik dan berfakta. Sejak mengambil alih jawatan Ketua Wanita pada 2022, beliau telah memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Sekolah Wanita (SWAN), Dana 30WReps dan Run to Win. Ia dilihat sebagai usaha menyusun semula struktur kaderisasi wanita, bukan sekadar memenuhi kuota tetapi membina keupayaan sebenar untuk memimpin dan menggubal dasar.
Sebagai menteri, Fadhlina telah menunjukkan keupayaan menyepadukan isu wanita ke dalam rangka dasar nasional. Inisiatif Hari Guru 2025 yang beliau perkenalkan, dengan fokus kebajikan dan pembangunan profesional pendidik memberi cerminan bagaimana naratif kebijakan boleh diolah untuk membina kepercayaan, sesuatu yang sangat diperlukan dalam politik hari ini.
Sebaliknya, Rodziah datang dengan sejarah perjuangan akar umbi yang panjang. Beliau suara aktivisme lapangan yang tidak asing dalam PKR sejak era awal Reformasi. Melalui kempen ‘Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK)’, beliau menyeru kepada pengembalian semangat asal parti berteraskan idealisme, keberanian dan kekritisan terhadap kuasa.
Namun, dalam era pasca-kerajaan perpaduan, politik tidak lagi sekadar soal semangat dan retorik. Ia menuntut kebolehan membaca realiti dasar, menyusun jentera dan membina naratif diyakini pengundi, khususnya generasi baharu dan kelas menengah yang semakin sinis terhadap retorik lama.
Dalam aspek itu, kelebihan Fadhlina sebagai seorang low profile but high policy memberi nilai strategik tidak boleh diabaikan. Yang menarik, pertandingan itu mencerminkan pertarungan dua dunia. Satu yang mahu mengekalkan keaslian perjuangan, satu lagi mahu membina sistem berkesan untuk perjuangan itu berakar dalam dasar dan struktur.
Rodziah ialah suara hati akar umbi, manakala Fadhlina ialah arkitek perubahan dasar. Bukan mudah untuk menilai siapa lebih layak. Namun, dalam landskap politik kian kompleks, mungkin persoalannya bukan siapa lebih vokal atau lebih lama berjuang tetapi siapa lebih bersedia menyusun strategi dan kapasiti memimpin ke hadapan.
Fadhlina berkali-kali menegaskan wanita bukan sekadar pelengkap tetapi penentu arah. Beliau sering membawa fakta — lebih 60 peratus penuntut universiti ialah wanita, namun hanya 15 peratus berada dalam Parlimen atau Kabinet. Jurang itu tidak boleh dikecilkan hanya dengan idealisme tetapi memerlukan pelan tindakan jangka panjang dan sinergi bersama kuasa.
Dalam konteks tersebut, pendekatan Fadhlina tampak lebih bersifat transformasional. Beliau bukan sekadar mahu wanita ‘ada’ dalam politik tetapi ‘berfungsi’ dan ‘berkesan’. Melalui pelbagai program bantuan lapangan dan jaringan sosial, beliau menunjukkan bagaimana isu kebajikan serta dasar boleh digabung bagi membina sokongan politik lestari.
Pertandingan ini akhirnya membawa kita kepada pertanyaan lebih besar, menyentuh makna sebenar kepimpinan wanita dalam era reformasi kedua PKR. Adakah ia medan meneruskan warisan emosional perjuangan atau platform memeta semula masa depan dengan strategi, ketahanan dan kebijakan?Apa juga keputusannya, pilihan itu akan jadi tanda aras bukan sahaja kepada nasib sayap wanita PKR tetapi sejauh mana politik Malaysia bersedia menerima wanita bukan sebagai penyeri tetapi sebagai pemimpin mendefinisikan zaman.
*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM)