WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan menunjukkan tangkapan skrin video Reuters yang dirakam di Republik Demokratik Congo semasa pertemuan dengan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, sambil mendakwa ia sebagai bukti pembunuhan beramai-ramai terhadap warga kulit putih di Afrika Selatan, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Menurut agensi berita Reuters, dalam pertemuan di Pejabat Oval pada Rabu, Trump menunjukkan kepada Ramaphosa cetakan tangkapan skrin video dan artikel berita yang didakwanya menyokong dakwaan bahawa berlaku"pembunuhan beramai-ramai orang kulit putih” di Afrika Selatan.
Iklan
Iklan
Salah satu daripada tangkapan skrin berkenaan sebenarnya adalah daripada sebuah video yang diterbitkan pada 3 Februari, yang memaparkan pekerja kemanusiaan mengangkat beg mayat di bandar Goma, Congo, selepas pertempuran dengan kumpulan pemberontak M23, menurut laporan Reuters.
"Ini semua adalah petani kulit putih yang sedang dikebumikan,” kata Trump kepada Ramaphosa sambil menunjukkan tangkapan skrin itu.
Pada Januari, Ramaphosa telah menandatangani undang-undang yang membenarkan pengambilan semula tanah tanpa pampasan dalam keadaan tertentu. Manakala pada awal Februari, Trump mendakwa Afrika Selatan"melayan sesetengah golongan rakyat dengan sangat buruk” dan berjanji untuk menghentikan semua bentuk pembiayaan kepada negara itu sehingga siasatan dijalankan.
Trump kemudiannya mengumumkan bahawa AS telah menghentikan sepenuhnya pembiayaan kepada Afrika Selatan berikutan dasar tanahnya yang disifatkan sebagai"teruk”, serta membuka laluan khas bagi permohonan kewarganegaraan pantas kepada petani Afrika Selatan dan keluarga mereka. - Bernama-Sputnik/RIA Novosti
Artikel Berkaitan