JAKARTA - Sekurang-kurangnya 34 buah rumah di Kota Bengkulu rosak selepas gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter melanda daerah Seluma di wilayah Bengkulu, Indonesia pada pagi Jumaat.
Dalam satu kenyataan, jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari berkata, gempa berlaku pada 2.52 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa terletak di luar pesisir pada kedalaman 10 kilometer.
Terdahulu, laporan media menyebut bahawa gegaran berukuran 6.0 pada skala Richter melanda kawasan barat Bengkulu.
Walaupun gegaran kuat dirasai, Abdul Muhari mengesahkan tiada ancaman tsunami dan tiada kematian dilaporkan.
"Gempa menyebabkan panik dalam kalangan penduduk yang bergegas keluar dari rumah masing-masing.
"Penduduk melaporkan gegaran kuat selama dua hingga tiga saat. Gempa itu turut dirasai di kawasan sekitar termasuk daerah Bengkulu Tengah dan Bengkulu Utara,” katanya.
Agensi pengurusan bencana tempatan kini menjalankan penilaian pantas dan pemantauan berterusan, sementara pihak berkuasa menyelaras keperluan kecemasan dan bantuan.
Abdul Muhari turut menasihatkan orang ramai supaya kekal tenang dan berwaspada sekiranya berlaku gempa susulan, mengelakkan penyebaran maklumat tidak sahih dan sentiasa mengikuti arahan rasmi. - Bernama