SHAH ALAM - Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membatalkan keupayaan Universiti Harvard untuk mendaftarkan pelajar antarabangsa adalah amat tidak bertamadun.
Pengerusi Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, universiti adalah institusi ilmu yang menghayati budaya ilmu dengan prinsip kebenaran dan keadilan.
"Ia mengamalkan kebebasan akademik dalam kalangan pensyarah dan mahasiswanya termasuk bersuara atas isu-isu kemasyarakatan tanpa ‘fear or favour’.
"Antara faktor kekuatan sebuah universiti adalah pertemuan dan kerjasama antara minda terbaik yang datang dari seluruh dunia yang berhimpun di situ untuk belajar, menyelidik, berbincang dan menerbitkan pelbagai karya," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) AS mengumumkan Harvard tidak lagi dibenarkan menerima pelajar antarabangsa manakala pelajar sedia ada perlu berpindah ke institusi lain atau berdepan kehilangan status sah mereka di negara itu.
Arahan tersebut dikeluarkan oleh Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem yang mengarahkan agar sijil Program Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVP) Harvard ditamatkan.
Bagaimanapun, Harvard dalam kenyataannya menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak sah di sisi undang-undang dan berikrar untuk terus mempertahankan hak institusi itu menerima pelajar dan sarjana antarabangsa dari lebih 140 buah negara.
Sehubungan itu, Saifuddin berharap kerajaan segera menghubungi pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Universiti Harvard dan universiti lain.
"Saya berharap Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) segera berbuat demikian bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara," katanya.