Dua lelaki maut MPV terjunam dalam parit

Iklan
Keadaan Toyota Avanza selepas terbabas dan terjunam ke dalam parit di Jalan Bernam Batu 10, Tanjong Karang di sini pada Jumaat.

KUALA SELANGOR - Dua lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki mereka terbabas dan masuk ke dalam parit di Jalan Bernam Batu 10, Tanjong Karang di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa warga tempatan dipercayai tercampak keluar dari kenderaan akibat impak kuat kemalangan.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.20 pagi.

"Pasukan terdiri daripada lima anggota bomba dan jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikerah ke lokasi dan tiba enam minit kemudian.

Iklan

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza terbabas dan masuk ke dalam parit," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau memberitahu, terdapat dua mangsa lelaki yang telah tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan

"Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," ujar beliau.