PETALING JAYA - Beberapa unit kediaman diubah suai menjadi kedai runcit dan bilik kecil untuk disewakan kepada warga asing antara yang dikesan dalam Ops Mega yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di sebuah apartmen di Bandar Sunway pada Khamis.
Operasi dijalankan bermula pada jam 9 malam yang disertai pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasa termasuk Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, tindakan pemilik menyalahgunakan premis kediaman sebagai tempat perniagaan dan penginapan itu dikesan hasil aduan awam yang diterima pihak berkuasa.
"Sepanjang tahun 2024, MBPJ menerima 22 aduan berkaitan salah guna kediaman dan bagi tahun 2025 setakat ini, sebanyak 11 aduan telah direkodkan.
"Daripada jumlah itu, tujuh premis telah menghentikan operasi tanpa lesen dan empat lagi masih dalam tindakan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di lokasi operasi pada Khamis.
Katanya, antara kesalahan utama dikenal pasti melibatkan pengubah suaian unit kediaman tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan dengan membina halangan untuk dijadikan bilik kecil.
"Tindakan ini jelas menyalahi undang-undang kerana sebarang ubah suai struktur dalaman rumah perlu mendapat kelulusan MBPJ.
"Kita percaya bilik-bilik kecil ini dijadikan asrama kepada pekerja asing,” katanya.
Beliau berkata, terdapat juga pemilik yang menjadikan unit kediaman sebagai premis perniagaan seperti kedai runcit, salon dan kedai makan.
"Premis-premis ini dikenal pasti terletak di aras satu dan dua apartment, kebanyakan perniagaan yang dijalankan melibatkan penjualan barang runcit dan makanan,” katanya.
Mohamad Zahri berkata, MBPJ telah memberikan amaran serta peringatan terhadap pemilik premis terbabit.
"MBPJ sememangnya tidak berkompromi terhadap mana-mana tindakan atau perbuatan yang jelas melanggar peraturan ditetapkan.
"Kita juga akan menjalankan pemeriksaan secara berterusan bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang masih berdegil," katanya.
Ops Mega yang diketuai Jabatan Imigresen Malaysia ini melibatkan pemeriksaan seramai 1,597 warga asing terdiri daripada pelbagai warganegara dan hasil serbuan telah berjaya menahan 597 yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Kesemua PATI ditahan berumur antara 11 tahun hingga 59 tahun yang terdiri daripada 472 lelaki dan 125 wanita.