ECRL ke Sungai Golok lengkapkan rangkaian kereta api bahagian timur ASEAN

Iklan
Sambungan ECRL ke Sungai Golok mampu lengkapkan koridor timur SKRL, tingkat hubungan rel Malaysia–Thailand.

KUALA LUMPUR – Menyambung Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Sungai Golok akan melengkapkan kekosongan koridor timur Laluan Rel Singapura-Kunming (SKRL), sekali gus membuka potensi strategik Malaysia dalam logistik rentas sempadan, kata seorang pakar.

Profesor Madya Universiti Teknologi Mara (UiTM) merangkap Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MiTRANS), Dr Wan Mazlina Wan Mohamed berkata, sambungan itu akan menghubungkan laluan rel Hat Yai-Sungai Kolok yang sedang dirancang oleh Thailand.

Iklan
Iklan

"Ini boleh mewujudkan jambatan darat alternatif dan berdaya tahan antara Pelabuhan Klang, Pelabuhan Kuantan, dan seterusnya ke Kunming melalui selatan Thailand.

"Walaupun jajaran barat SKRL sudah melalui Padang Besar dan Hat Yai, koridor timur melalui Kelantan masih belum wujud," katanya kepada Bernama.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap cadangan Duta Thailand ke Malaysia, Lada Phumas, yang baru-baru ini mencadangkan supaya projek ECRL Malaysia yang bermula di Kota Bharu diperluas ke sempadan Sungai Golok untuk meningkatkan hubungan rel antara Thailand dan Malaysia.

Wan Mazlina berkata, sambungan ECRL itu akan meningkatkan integrasi rel serantau dan menyokong Pelan Induk ASEAN mengenai Kesalinghubungan 2025.

Iklan

"Kemudahan sempadan yang diperkemas, termasuk pos Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) yang dinaik taraf, akan menjadi penting untuk memudahkan perdagangan dan pergerakan rentas sempadan yang lebih lancar,” katanya.

Dari segi ekonomi, beliau berkata perhubungan yang lebih baik akan menyokong matlamat pembangunan Kelantan di bawah Koridor Tanah Merah-Tumpat dan membantu negeri itu menarik pelaburan swasta bernilai RM9.5 bilion menjelang 2025.

"Projek itu juga seiring dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019–2030, terutamanya objektifnya untuk meningkatkan bahagian mod rel dalam pengangkutan barang serta mengukuhkan daya saing Pantai Timur dalam rantaian bekalan serantau,” katanya.

Dari segi ekonomi pengangkutan, Wan Mazlina menjelaskan bahawa pengangkutan rel adalah kira-kira 30 peratus lebih murah daripada pengangkutan jalan bagi kargo pukal. Menerusi sambungan ini, masa transit antara Kota Bharu dan Bangkok boleh dikurangkan daripada 24 jam kepada hanya 12 jam.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa walaupun manfaatnya menarik, Malaysia mesti menilai dengan teliti daya maju kewangan pelanjutan itu yang berpotensi menelan kos melebihi RM2.0 bilion disebabkan keperluan pembinaan baharu dan infrastruktur sempadan.

"Keutamaan negara lain seperti ECRL Fasa 2 ke Pulau Pinang atau cadangan pembinaan Kereta Api Trans Borneo yang menghubungkan Sabah dengan Sarawak juga mesti diambil kira dalam analisis kos dan faedah.

"Cabaran pelaksanaan termasuk pengambilan tanah di kawasan banjir, keperluan untuk menghubungkan Sungai Golok serta kebimbangan alam sekitar melibatkan tanah lembap di Tumpat juga perlu dipertimbangkan,” katanya.

Beliau menegaskan, jika dirancang dan dilaksanakan secara strategik, sambungan rel tersebut boleh menjadi pemangkin kepada transformasi Pantai Timur menjadi koridor perdagangan dan logistik yang dinamik untuk rantau ASEAN dan Indo-Pasifik. - Bernama