SHAH ALAM - Pendakian Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa ke puncak Gunung Everest terpaksa dihentikan akibat mengalami masalah kesihatan iaitu cirit-birit dan demam berpanjangan.
Beliau yang merupakan salah seorang pendaki projek Pendakian Amal Bomba de Everest 'Mencari Hati Emas' 2025 berkata, keputusan berat itu terpaksa dibuat selepas menerima nasihat daripada penunjuk arah profesional, Jamling untuk kembali ke Kem Induk Everest (EBC) bagi mendapatkan rawatan segera.
Bagaimanapun, menurut anggota bomba tersebut, pendakiannya yang bermula sejak 18 Mei hanya setakat di Kem 1 yang berketinggian kira-kira 6,000 meter (m) dari aras laut.
"Perkara ini berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan untuk melanjutkan pendakian ke ketinggian seterusnya.
"Pada 20 Mei sebaik tiba di EBC, saya dibawa turun menaiki helikopter untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Lukla berikutan keadaan kesihatan yang semakin merosot serta boleh membahayakan nyawa akibat cirit-birit dan demam berpanjangan.
"Namun, pihak perubatan mengesahkan ia bukan serangan penyakit akut gunung (AMS) memandangkan paras oksigen masih stabil. Kini, keadaan saya semakin membaik selepas mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Projek Pendakian Amal Bomba de Everest Mencari Hati Emas yang bermula sejak tiga tahun lepas bertujuan mengutip dana kebajikan antaranya buat anggota bomba, tabung transplantasi buah pinggang dan Tabung Pendidikan al-Quran oleh Yayasan Al Baghdadi.
Mohd Fakhrul Munir yang merupakan anggota Anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) di Pangkalan Udara Wilayah Tengah itu berlepas dari tanah air pada 7 April lalu bagi menjayakan misi menawan puncak gunung tertinggi dunia.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM30,000 buat tabung bantuan anggota bomba yang tercedera atau terkorban ketika menjalankan tugas dan masih dalam perkhidmatan.
Mohd Fakhrul Munir memaklumkan, beliau dijangka pulang ke tanah air sekitar tiga atau empat hari lagi bergantung kepada tahap kesihatan yang dinilai pegawai perubatan hospital.
Katanya, meskipun tidak meneruskan pendakian atas faktor kesihatan, ia tidak mencerminkan kegagalan projek itu sepenuhnya malah aktiviti pencarian dana masih diteruskan.
"Perjalanan selama tiga tahun ini amat bermakna untuk Projek Pendakian Amal Bomba de Everest Mencari Hati Emas' 2025. la bukan satu perjalanan yang mudah dan banyak pengorbanan dilakukan.
"Saya berterima kasih kepada penyumbang antaranya Kerajaan Kedah, pihak swasta dan orang perseorangan yang menyumbangkan dana untuk tabung berkenaan.
"Kejayaan hingga ke tahap ini juga mendapat sokongan padu daripada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), barisan penaja dan penganjur strategik, rakan-rakan media, masyarakat serta keluarga,” ujarnya