SEREMBAN - Pemandu Honda Jazz yang tular melanggar lampu isyarat merah dan merempuh dua motosikal di Senawang, Mac lalu mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara(AGC) atas pertuduhan memandu secara berbahaya dan tanpa lesen sehingga mengorbankan tiga nyawa.
Peguam, Johan Radzi yang mewakili tertuduh berusia 17 tahun memaklumkan perkara itu kepada Mahkamah Majistret pada Rabu semasa prosiding sebutan semula kes di hadapan Majistret, Nurul Azuin Mohd Talhah.
Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan M Shanmugavell berkata, pihak pendakwaan bersedia menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kereta jenis Honda Jazz dituduh memandu secara berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16 dan Aisar Azim Abdullah, 17.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang jam 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Heights di sini pada 6 Mac lalu.
Berikutan itu dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 26(1) kerana memandu tanpa lesen.
Jika disabitkan, boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun tertuduh mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi status representasi.
Media sebelum ini melaporkan dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah Honda Jazz yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam.
Empat hari kemudian, seorang lagi mangsa yang cedera parah turut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.