Hampir 300 penumpang diselamatkan selepas kabel voltan tinggi jatuh atas tren

Iklan
Pasukan teknikal memindahkan penumpang dari tren ke stesen terdekat.

ISTANBUL - Hampir 300 penumpang berjaya diselamatkan pada Selasa selepas terperangkap selama beberapa jam dalam sebuah tren di Sydney, Australia apabila kabel kuasa voltan tinggi terjatuh ke atas gerabak, lapor Anadolu Ajansi yang memetik laporan media tempatan.

Menurut ABC News, lebih 300 penumpang dibawa keluar dengan selamat selepas insiden kabel kuasa voltan tinggi terjatuh ke atas gerabak berhampiran Stesen Strathfield dan Homebush di Sydney.

Iklan
Iklan

Laporan awal menyebut bahawa pihak berkuasa tempatan dan pasukan penyelamat telah berusaha membawa keluar penumpang dengan selamat dari tren tersebut.

Perkhidmatan tren antara Stesen Central Sydney dan Lidcombe turut digantung susulan kejadian, dengan Sydney Trains memaklumkan bahawa mereka sedang berusaha mengasingkan pendawaian 1,500 volt overhed daripada tren terlibat.

Iklan

"Peranti penyambung kuasa tren telah berlanggar dengan beberapa kabel dalam sistem wayar atas,” kata Penyelaras Umum Pengangkutan New South Wales, Howard Collins.

Beliau berkata pasukan teknikal perlu mematikan bekalan elektrik ke kabel tersebut sebelum memindahkan penumpang dari tren ke stesen terdekat.

Iklan

Collins menambah bahawa punca kabel elektrik hidup itu terjatuh ke atas gerabak masih belum diketahui."Kami akan menyiasat punca sebenar kejadian ini,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, negeri New South Wales turut memulakan pemindahan puluhan penduduk dari kawasan berisiko banjir pada Selasa susulan amaran kecemasan berikutan hujan lebat, menurut laporan ABC News. - Bernama