SEPANG – Seramai 112 individu warganegara Bangladesh, Pakistan dan India telah ditolak daripada memasuki negara ini selepas gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan pada Isnin.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memaklumkan, kesemua mereka dikesan telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lebih enam jam namun tidak hadir ke kaunter untuk pemeriksaan Imigresen.
"Kesemua mereka adalah antara 300 individu dari pelbagai negara yang diperiksa dalam operasi pemantauan berkala oleh Unit Pemantau AKPS di KLIA.
"Hasil pemeriksaan kami mendapati sebilangan daripada mereka yang telah lama mendarat sengaja tidak pergi ke kaunter Imigresen," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut kenyataan itu, tindakan warga asing tersebut mencetuskan keraguan terhadap tujuan kedatangan mereka ke negara ini sebelum mereka ditahan.
"Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke pejabat Unit Pemantau AKPS KLIA bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan lanjut sebelum keputusan rasmi penolakan kemasukan dikeluarkan ke atas mereka," katanya.
AKPS akan terus mempergiatkan aktiviti pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pintu masuk dan kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara.
AKPS bagaimanapun tidak memperincikan kesalahan yang dilakukan oleh 112 individu terbabit.